Keluar dari zon selesa seperti Bellingham, Arif Aiman ada potensi cipta nama di Eropah dan jadi pemain terbaik Asia Tenggara

660

Naib juara Euro 2020, England menepati ramalan untuk mara ke pusingan kalah mati selepas cemerlang menduduki tangga teratas Kumpulan B dalam saingan Piala Dunia 2022.

Kemenangan 3-0 ke atas Wales pada aksi terakhir peringkat kumpulan membolehkan England mengatasi pasukan Amerika Syarikat dan Iran untuk bergelar sebagai juara kumpulan.


Namun, mereka dilihat bakal bergelut di pusingan 16 terbaik berdasarkan prestasi semasa serta pendekatan permainan selamat yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Gareth Southgate.

Tambahan pula, mereka dijangka bertemu Senegal dan ia akan menjadi salah sebuah lawan yang cukup sukar ditandingi dengan kekebalan pertahanan yang dimiliki oleh wakil Afrika tersebut.

Walaubagaimanapun, menarik untuk kita menyaksikan pertemuan ini berlaku tatkala kedua-dua pasukan belum pernah bertemu sesama sendiri sebelum ini.

Tidak mustahil untuk England mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya memandangkan mereka dibarisi oleh bakat-bakat muda berkualiti yang berani keluar dari zon selesa untuk berjaya seperti pemain Borussia Dortmund, Jude Bellingham.

Bellingham merupakan satu-satunya pemain yang beraksi untuk kelab di luar England yang dibawa oleh Southgate ke Qatar kali ini.

Beliau berjaya membuktikan kemampuannya selepas disambar oleh Dortmund pada usia 17 tahun dan kini menjadi antara sandaran utama kelab tersebut.

Setakat beberapa perlawanan yang berlangsung musim ini, beliau telah beraksi sebanyak 15 perlawanan dan berjaya menjaringkan tiga gol serta mencatat dua bantuan jaringan.

Beliau juga cemerlang di peringkat UEFA Champions League (UCL) dengan empat jaringan hanya menerusi lima perlawanan setakat ini.

Statistik yang cukup baik buat pemain muda berpotensi besar seperti Bellingham dan masih mempunyai masa depan yang cukup cerah untuk mencapai tahap yang lebih baik di masa depan.  

Sebuah tindakan berani serta membuahkan hasil untuk memilih beralih ke Bundesliga dan tidak hanya kekal di zon selesa bersama mana-mana kelab di England.

Senario ini mungkin boleh menjadi contoh dan teladan kepada pemain muda Malaysia yang semakin meningkat naik seperti Arif Aiman.

Meskipun tidak begitu dipandang sewaktu di Akademi Mokhtar Dahari oleh jurulatih skuad muda negara pada ketika itu, Lim Teong Kim, beliau kini telah membuktikan kemampuan sebenarnya selepas menjadi antara pemain utama buat kelab Johor Darul Ta’zim serta pasukan kebangsaan.

Beliau berjaya mendapatkan tempat walaupun terpaksa bersaing dengan pemain lebih senior seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan beberapa pemain lain yang beraksi di posisi sama.

Musim ini, Arif berjaya membantu pasukan JDT memenangi empat kejuaraan termasuk mengekalkan kedudukan sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Pemain berusia 20 tahun tersebut telah beraksi sebanyak 38 perlawanan untuk kesemua kejohanan yang disertai oleh JDT tahun ini dan berjaya melakukan 20 bantuan jaringan di samping memperoleh lapan gol.

Terbaru, Arif muncul satu-satunya pemain JDT yang berjaya membolosi pintu gol Dortmund pada aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung pada 28 November yang lalu dan berkesudahan dengan keputusan 4-1.

Dengan rehat yang cukup singkat selepas jadual padat di saingan Piala Malaysia, prestasi Arif pada perlawanan tersebut layak diberikan pujian dan berjaya menarik perhatian pencari-pencari bakat.

Terdahulu, kelincahan Arif juga telah mendapat perhatian daripada pencari bakat dari Belanda yang telah melakukan analisis terhadap corak permainannya.

Jika hendak dibandingkan dengan pemain muda Malaysia yang kini beraksi di Eropah, Luqman Hakim, Arif dilihat jauh lebih menonjol.

Luqman masih beraksi bersama skuad B-23 negara manakala Arif sudah bergerak jauh dengan memperoleh tempat tetap di dalam pasukan senior Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Arif berpeluang besar jika beliau bertekad untuk menjalani latihan percubaan dengan mana-mana kelab divisyen kedua atau ketiga sekitar Eropah sebagaimana yang berlaku buat kebanyakan pemain dari Jepun seperti Ayase Ueda yang kini beraksi bersama Cercle Brugge di Belgium.

Pemain ini perlu mencuba nasib untuk mengintai peluang bagi mendapatkan pengalaman beraksi bersama kelab-kelab dari negara seperti Denmark, Sweden dan Finland.

Beliau harus keluar dari zon selesa dan menjadikan kejayaan Bellingham sebagai contoh terbaik buatnya yang kini berada di landasan terbaik untuk menjadi antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara sebaris dengan pemain seperti Chanathip Songkrasin yang kini bermain di liga J1 bersama Kawasaki Frontale.

Pemain tersebut tidak perlu berasa takut jika tidak berjaya pada percubaan pertama kerana umurnya yang masih muda serta karier bola sepaknya yang masih panjang.

Pintu JDT terutama sekali pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) akan sentiasa terbuka untuk menerima kembali pemain berbakat besar seperti yang berlaku kepada Safawi sewaktu berhijrah ke Portugal sebelum ini.

Dalam pada itu, Bellingham dan rakan sepasukannya perlu menggunakan tempoh berbaki ini untuk bersiap sedia bagi memperbaiki kelemahan sebelum bertemu Senegal pada 4 Disember ini.