‘Diam-diam ubi berisi’, JDT difahamkan sedang mengintai beberapa lagi bintang futsal negara

1,005

Pendatang baru saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim depan, Johor Darul Ta’zim dikhabarkan terus memancing beberapa nama besar dalam arena futsal negara.

Menurut sumber kepada Harimau Malaya, selepas dikatakan memborong ramai bintang Selangor MAC, ada lagi beberapa pemain negara yang kini berada di dalam radar JDT bagi memperkuatkan pasukan sebelum musim bermula.


Antara nama yang disebut-sebut adalah beberapa orang pemain Pahang Rangers seperti Awalludin Mat Nawi, Abu Haniffa serta Farhan Khairul Anuar.

Ketiga-tiga pemain ini merupakan sandaran utama buat Pahang Rangers sejak beberapa musim termasuk tahun ini sewaktu muncul naib juara berganda di dalam saingan MPFL serta Piala Futsal Malaysia di belakang Selangor MAC.

Kemahiran individu yang dimiliki oleh mereka akan menjadi aset besar kepada JDT sekiranya pasukan tersebut benar-benar ingin dapatkan mereka.

Tambahan pula, Awalludin yang kini baru sahaja berusia 24 tahun mampu menjadi prospek jangka masa panjang buat JDT untuk memastikan pasukan tersebut dapat memberikan saingan yang hebat.

Awalludin boleh dianggap antara pivot terbaik dalam arena futsal negara dengan pengalamannya beraksi bersama Harimau Malaya serta beberapa kelab seperti Perak pada tahun 2017 sehingga 2019.

Manakala, Haniffa pula seorang pemain berpengalaman yang telah sekian lama menempa nama di kancah futsal tempatan.

Haniffa yang kini sudah memasuki musim keempatnya bersama Pahang Rangers cemerlang beraksi sebagai fix dan telah berjaya dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Futsal Kebangsaan (LFK) sebanyak dua kali.

Beliau juga muncul sebagai antara penjaring utama skuad Pahang Rangers di samping pemain lincah, Ridzwan Bakri.

Di usia 25 tahun, Farhan juga merupakan nama besar di dalam saingan futsal Malaysia selepas beberapa mewakili pasukan negara di semua peringkat umur termasuk pada saingan Piala AFF tahun ini.

Selain tiga pemain utama Pahang Rangers ini, JDT juga dikatakan berminat untuk membawa masuk pemain utama TRW Kelantan FC, Aqil Khalis.

Selepas beraksi cemerlang bersama skuad pantai timur tersebut untuk muncul antara penjaring terbanyak pasukan, Aqil telah mendapat panggilan kali kedua bersama Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih, Chiew Chun Young.

Kehadiran Aqil akan menajamkan barisan hadapan JDT serta menambahkan kesukaran buat pasukan-pasukan lain bagi mengekang kemaraan kelab ini.

Selain empat pemain ini, ada lagi beberapa nama yang telah dicanang bakal dibawa ke selatan tanah air.

Mereka adalah Azlan Nasti yang telah membantu pasukan Selangor TOT United meraih tempat ketiga di dalam saingan Piala Futsal Malaysia tahun ini.

Selain itu, Dineshkumar yang sebelum ini beraksi bersama Penang FA dan KL City juga turut berada di dalam senarai yang sama.

Semestinya peminat futsal negara, tidak sabar untuk melihat senarai akhir pemain yang bakal diumumkan oleh pihak JDT tidak lama lagi.

Mari kita lihat dapatkah Selangor MAC mengekalkan dominasi mereka di saingan MPFL atau terpaksa akur kepada pendatang baru tersebut!