Darren Lok percaya kemampuan muka baru, lihat mereka teruja dan bangga dapat panggilan wakili negara

499

Penyerang kebangsaan, Darren Lok meletakkan kepercayaan beliau kepada kemampuan pemain-pemain baru yang menyertai pasukan kebangsaan untuk Piala AFF kali ini.

Beliau mengakui mereka akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon tetapi yakin mereka layak berada dalam skuad kebangsaan.


“Pasukan ini sangat berbeza daripada sebelum-sebelum ini tetapi kami percaya kepada muka-muka baru, ada sebab mengapa mereka dipanggil ke sini.

Saya lihat mereka teruja dan bangga berada di sini, sudah tentu ia akan mengambil sedikit masa untuk mereka sesuaikan diri dengan taktikal dan gaya permainan, tetapi kami ada masa untuk bersedia,”

katanya.

Menurutnya, semua pemain melalui sesi latihan dengan baik setakat ini dan sedang membentuk persefahaman dengan pemain baru.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives adalah amat penting memandangkan terdapat sebilangan pemain yang sudah tidak bermain secara kompetitif sejak sebulan lalu.

“Kami boleh jalankan sesi latihan tetapi bermain di atas padang adalah berbeza dan penting buat kami dapatkan minit permainan sebelum kejohanan Piala AFF bermula.

Bagi saya dalam perlawanan persahabatan, keputusan tidak begitu penting, yang penting adalah kami lakukan apa yang jurulatih mahukan.”

Beliau berharap pada kempen kali ini, beliau mampu kekal cergas kerana tidak mahu terlepas lagi kejohanan itu akibat kecederaan seperti edisi lalu.

Sementara itu, beliau tidak merasakan bahawa posisi sebagai penyerang utama adalah miliknya, dan merasakan bahawa pemain baru lain juga adalah bagus dan mampu menggugat posisinya.

Beliau bertekad akan berikan yang terbaik dan berharap mampu membantu negara untuk layak ke perlawanan akhir.