JDT hanya ‘target’ Liga Super dan Piala FA untuk kejuaraan domestik 2023, prestasi di ACL jadi keutamaan
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya menyasarkan dua kejohanan domestik pada musim 2023 iaitu Liga Super dan Piala FA.
Selepas berjaya menyapu bersih semua kejuaraan domestik musim ini, baginda berkata JDT tidak boleh selesa dan keutamaan ketika ini adalah untuk melakukan yang lebih baik lagi dalam kejohanan AFC Champions League (ACL).
“Pada tahun 2023, kami mahu melihat berapa jauh kami boleh pergi dalam ACL, itu adalah penambahbaikan yang ingin dilihat dan menjadi keutamaan JDT.
Dalam masa yang sama kami akan tumpukan kejuaraan Liga Super dan Piala FA, manakala bagi Piala Malaysia pula kami akan gunakan kebanyakan pemain muda dengan beberapa pemain senior,”
katanya.
Menurut baginda, JDT tidak boleh mengukur kejayaan berdasarkan pencapaian di tahap domestik, tetapi harus melihat kepada saingan di peringkat Asia.
Katanya, selepas tewas besar kepada Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 terakhir ACL musim ini, baginda telah belajar banyak perkara justeru mahu melakukan peningkatan terhadap pasukan.
Baginda berkata, akan terdapat perubahan dari segi struktur dan modul latihan serta teknologi, dan juga dari segi diet dan pemakanan para pemain.
Sementara itu, baginda juga berkongsi punca kejayaan JDT iaitu kestabilan dari segi kewangan dan struktur kelab.
“Kestabilan inilah yang berikan kami kelebihan untuk jaga prestasi pasukan untuk berada dalam keadaan yang konsisten.
Kejayaan JDT bukan sahaja datang dari pelaburan yang dilakukan tetapi cara kami kawal situasi yang berlaku dalam kelab.”
Menurut baginda, perubahan yang dirancang pada musim depan telah direncanakan sejak dua tahun lalu, dan ini merupakan masa sesuai untuk melaksanakannya.
Sementara itu, baginda mengakui bahawa tidak pernah menjangkakan untuk mencatat kejayaan menyapu bersih piala domestik tahun ini tanpa sebarang kekalahan.
TMJ juga mengakui bahawa ia adalah kejayaan paling bermakna dan sukar buat mereka untuk mengulanginya lagi selepas ini.
Baginda turut berkongsi bahawa JDT mahu menaikkan lagi nilai komersilnya serta meningkatkan teknologi dan infrastruktur di kelab itu selepas ini.