Tak disukai pengurusan tapi dapat sokongan pemain, Graham Arnold akhirnya cipta kejayaan bersama Australia

248

Pasukan Australia menjadi pasukan dari Asia yang pertama berjaya layak ke Pusingan 16 selepas tumpaskan Denmark 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Dunia 2022 Qatar.

Gol kemenangan Australia telah dijaringkan oleh Mathew Leckie pada minit ke-60 menjadi gol tunggal untuk membawa pasukannya mengutip tiga mata penuh sekaligus mengutip enam mata menerusi dua kemenangan dan satu kekalahan.


Perlawanan sebentar tadi menyaksikan kedua-dua pasukan tampil dengan misi wajib menang untuk melepasi peringkat kumpulan dan ia tidak mengecewakan apabila mereka mempamerkan aksi yang cukup menarik dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan demi serangan.

Bagaimanapun barisan pertahanan Australia mempamerkan disiplin yang cukup tinggi apabila berjaya mematahkan deretan serangan daripada pemain Denmark.

Disebalik kejayaan ini, pasukan Socceroos sebenarnya berdepan kemelut dalaman apabila dilaporkan pengurusan pasukan itu tidak menyukai dengan ketua jurulatih Graham Arnold, namun pengendali berusia 59 tahun itu mendapat sokongan penuh daripada pemain-pemainnya.

Antara faktor yang menyebabkan pengurusan Australia tidak menyukai Arnold kerana beliau secara lantang mengkritik pengurusan berikutan terdapat masalah besar dalam program pembangunan akar umbi apabila mereka semakin kekurangan pemain muda berkualiti.

Kejayaan ini juga merupakan kejayaan kedua buat Arnold dalam membantu pasukannya mara ke Pusingan 16 apabila kali pertama beliau berjaya membawa pasukan itu melepasi peringkat kumpulan adalah pada Piala Dunia 2006 di Jerman yang mana beliau ketika itu adalah penolong ketua jurulatih kepada Guus Hiddink.

Tidak dapat dinafikan ketika mereka layak pada tahun 2006, Australia dibarisi ramai pemain-pemain berkualiti dan terkenal seperti Tim Cahill, Mark Schwarzer, Mark Viduka, Harry Kewell dan banyak lagi yang mana mereka ini bermain di liga elit Eropah seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun berbeza pula Arnold apabila untuk edisi kali ini pemain-pemain yang dibawa ke Qatar bukanlah nama besar seperti yang dahulu tetapi ternyata pecaturan yang dilakukannya berjaya membentuk sebuah skuad yang ampuh dan boleh digelar sebagai pasukan ‘kuda hitam’ di Piala Dunia.

Arnold tidak asing dalam pasukan kebangsaan Australia kerana beliau sudah terlibat dengan Australia sejak tahun 2000 lagi ketika itu sebagai penolong ketua jurulatih (2000-2006), ketua jurulatih sementara (2006-2007) dan ketua jurulatih B-23 (2007-2008).

Beliau kemudian melepaskan jawatannya itu untuk mengendalikan beberapa kelab di liga Australia.

Namun beliau kembali diserap ke pasukan kebangsaan Australia pada tahun 2018 sebagai ketua jurulatih skuad B-23 sehingga 2021, tetapi kemudian dinaik ke skuad utama bagi menggantikan pengendali dari Netherlands iaitu Bert van Marwijk.

Walaupun tidak ramai yang meletak harapan tinggi buat Arnold dan pasukannya, namun beliau dalam misi untuk cuba mara lebih jauh dalam kempen Piala Dunia kali ini dan sekiranya beliau hanya mampu bawa Australia ke peringkat suku akhir sekalipun, mereka akan mencipta sejarah baru apabila layak ke peringkat itu buat pertama kali.

Apa sahaja keputusan di Piala Dunia nanti, Australia pastinya akan mencetuskan kegerunan buat pasukan-pasukan di rantau Asia lain yang mana terdapat kemungkinan mereka akan bertembung dalam kejohanan Piala Asia 2023.

Australia merupakan bekas juara Piala Asia pada tahun 2015 dan mempunyai rekod yang cukup baik sejak menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun 2006.

Penampilan pertama di Piala Asia adalah pada tahun 2007 yang mana ketika itu mereka berjaya layak sehingga ke peringkat suku akhir.

Empat tahun kemudian Australia kembali dengan lebih hebat apabila berjaya layak ke perlawanan akhir tetapi tewas kepada Jepun 1-0 untuk berpuas hati sebagai naib juara.

Bagaimanapun pada tahun 2015, mereka mencipta sejarah apabila berjaya menjulang trofi itu selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.

Prestasi pasukan merosot pada Piala Asia 2019 apabila mereka hanya mampu layak sehingga ke peringkat suku akhir sahaja.

Tetapi dengan prestasi semasa di Piala Dunia, mereka dijangka akan tampil lebih hebat lagi pada Piala Asia 2023, yang juga akan berlangsung di Qatar.