Potensi untuk jadi tuan rumah pada 2030 dengan bimbingan Herve Renard, misi balas dendam Arab Saudi perlu segera dimulakan

633

Selepas mencipta kejutan terbesar pada Piala Dunia 2022 Qatar apabila menewaskan gergasi Argentina, Arab Saudi dijangka mampu mara ke peringkat Pusingan 16 namun ia tidak berlaku apabila mereka tersingkir selepas tewas 3-1 kepada Mexico.

Sejak wisel pertama ditiupkan, Mexico sudah melancarkan serangan bertali-arus ke kubu Arab Saudi tetapi gagal menembusi gawang dan separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.


Bagaimanapun masuk separuh masuk kedua, Mexico tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan apabila Henry Martin menjaringkan gol pada minit ke-47 untuk memberi kelebihan.

Mereka terus menggandakan serangan dann berjaya mendapatkan gol kedua menerusi sepakan percuma yang cukup cantik menerjah jaring daripada Luis Chavez pada minit-52.

Mexico terus melakukan serangan untuk mencari satu lagi gol untuk mara ke Pusingan 16 berikutan terikat sama mata dengan Poland tetapi ketika mereka ghairah melakukan serangan, Arab Saudi melakukan serangan balas pantas dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-90+5 menerusi Salem Aldawsari sekaligus menutup peluang untuk Mexico mara ke peringkat seterusnya.

Walaupun Arab Saudi sudah tersingkir, namun aksi pertama mereka akan terus menjadi bualan peminat bola sepak di seluruh dunia dan jika Argentina berjaya menjulang Piala Dunia pada edisi kali ini, mereka akan menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan juara.

Pasukan yang diberi jolokan Green Falcons itu tidak perlu berasa terlalu kecewa kerana mereka telah mempamerkan aksi yang cukup memukau sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Dibawah kendalian ketua jurulatih berpengalaman Herve Renard, pasukan dari Timur Tengah itu telah mempamerkan keazaman yang sudah lama hilang dalam pasukan itu sejak 1994 (kali terakhir mereka berjaya layak ke Pusingan 16), malah aksi mereka lebih baik jika hendak dibandingkan dengan musuh tradisi mereka yang juga tuan rumah Qatar yang kalah dalam ketiga-tiga perlawanan.

Jika mereka mahu melakukan lebih baik pada Piala Dunia akan datang, perkara paling utama yang perlu mereka lakukan adalah untuk menurunkan purata umur pemain dan mempertajamkan barisan serangan mereka.

Ini kerana untuk edisi 2022, mereka mempunyai purata pemain berusia 28 tahun dan dalam tempoh empat tahun lagi kebanyakan pemain-pemain sedia ada ketika ini akan berusia 32 tahun ke atas dan ini tidak akan membantu pasukan jika mereka mahu melangkah dengan lebih jauh.

Sejak dikendalikan oleh Renard, pasukan Arab Saudi bukan sahaja berjaya layak ke Piala Dunia tetapi ranking mereka juga naik dari kedudukan ke-72 kepada 51 ketika ini.

Pencapaian itu nyata menggembirakan Konfederasi Bola Sepak Arab Saudi apabila mereka telah menawarkan kontrak lanjutan kepada Renard untuk mengendalikan pasukan kebangsaan sehingga 2027.

Kelab-kelab bola sepak seperti Al-Hilal dan Al-Nassr, jika mereka berjaya membawa bintang terkemuka dunia Cristiano Ronaldo beraksi dalam Saudi Pro League, ia pasti sedikit sebanyak dapat membantu pasukan kebangsaan.

Memandangkan Ronaldo kini tidak mempunyai kelab, sudah pasti ada peluang untuk melihat pemain berkelas dunia itu beraksi bersama kelab di Arab Saudi sebelum bersara dari dunia bola sepak, dan mungkin boleh jadi duta atau perunding di sana.

Kebanyakan kelab di sana dimiliki oleh kerabat diraja yang mana mereka sangat komited dalam membantu pasukan kebangsaan sebanyak yang mungkin.

Dalam pada itu, Arab Saudi juga dilaporkan berminat untuk membida Piala Dunia 2030 sebagai tuan rumah bersama, sebagai salah satu cara untuk mempromosi sukan dan pelancongan selari usaha Saudi Vision 2030.

Sekiranya mereka benar-benar rancang untuk bida Piala Dunia 2030, Renard harus dikekalkan sebagai mana mereka telah percaya dengan falsafah dan persembahannya di Qatar yang telah membuktikan beliau adalah orang yang tepat, dan jika ia berlaku beliau mungkin akan jadi ketua jurulatih paling lama bersama pasukan kebangsaan dalam sejarah Arab Saudi.

Selepas ini Arab Saudi akan kembali beraksi dalam kejohanan Piala Asia 2023 dan ia mungkin akan menjadi kejohanan terakhir buat beberapa pemain senior sebagai pemain kebangsaan, dan kapten pasukan Salem Al-Dawsari (31 tahun) mungkin boleh dijadikan sebagai tonggak untuk membina semula pasukan.

Jangan terkejut sekiranya mereka tidak beraksi baik pada kempen Piala Asia nanti sekiranya mereka memang rancang untuk memulakan transisi sebaik sahaja pulang dari Qatar.