Hampir tersingkir namun layak selepas 36 tahun, malang bertimpa buat Lewandowski bertemu Mbappe dan Perancis selepas Messi

415

Pasukan Poland tidak beraksi dengan baik selepas menerima tekanan yang cukup tinggi untuk mengekalkan kedudukan kedua teratas Kumpulan C bagi merebut slot ke pusingan kalah mati.

Aksi hambar ini menyebabkan mereka tewas mudah di tangan pasukan Argentina yang dilihat lebih berjaya menguasai perlawanan seawal wisel pertama dibunyikan.


Meskipun sepakan penalti yang diambil oleh kapten Argentina, Lionel Messi pada babak pertama perlawanan berjaya ditepis oleh penjaga gol, Wojciech Szczesny, Poland tetap gagal menghalang pasukan tersebut meraih kemenangan.

Mereka diselamatkan oleh jaringan minit akhir pasukan Arab Saudi pada pertemuan menentang Mexico yang membolehkan Poland mengakhiri saingan kumpulan di tempat kedua berdasarkan perbezaan jaringan.

Tidak dapat dinafikan, Mexico memiliki kualiti yang lebih baik untuk layak ke peringkat seterusnya berdasarkan kemampuan dari segenap aspek pasukan namun kekebalan Szczesny menepis dua penalti setakat ini menjadi antara penyelamat utama buat Poland.

Szczesny kini berada di tahap terbaik selepas berjaya menunjukkan standard sebagai antara penjaga gol terbaik buat masa ini ditambah dengan kekebalan bahagian pertahanan yang dibarisi oleh pemain seperti Matty Cash, Kamil Glik, Jakub Kiwior dan Bartosz Bereszynski.

Prestasi kurang memuaskan telah dipamerkan oleh penjaring terbanyak Poland, Robert Lewandowski memperlihatkan beliau sedikit bergelut untuk berada di tahap terbaik dan membuktikan kredibiliti sebagai salah seorang penyerang prolifik.

Lewandowski tampak sedikit terasing dan kurang serasi dengann corak permainan serta formasi yang digunakan oleh ketua jurulatih, Czeslaw Michniewicz.

Sudah pasti, kekalahan di tangan Messi dan Argentina sukar ditelan oleh penyerang berusia 34 tahun ini kerana beliau tidak berjaya membuktikan bahawa dirinya merupakan seorang pemain yang jauh lebih baik.

Dalam pada itu, beliau kini tidak memiliki begitu banyak masa untuk membuktikan kemampuannya selepas dijadual bertemu sebuah lagi pasukan gergasi dunia, Perancis yang juga merupakan penyandang juara.

Aksi bertemu Perancis semestinya menjanjikan cabaran yang kuat buat Lewandowski dan rakan sepasukannya memandangkan mereka bakal berhadapan dengan bintang ternama dunia seperti Kylian Mbappe.

Mbappe kini menerajui carta penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini dengan tiga gol yang berjaya dicatatkan serta satu bantuan jaringan yang terhasil pada perlawanan menentang Australia tempoh hari.

Rakan sekelabnya di Paris Saint-Germain, Messi juga cemerlang meraih dua gol dan satu bantuan jaringan selepas tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Berbeza nasib dengan Lewandowski yang bergelut mencari jaringan dan hanya berjaya menembusi gawang sebanyak sekali setakat ini.

Namun, jika hendak dibandingkan menerusi statistik bersama kelab, Lewandowski dilihat lebih cemerlang berbanding Mbappe dan Messi.

Beliau telah berjaya menjaringkan 14 gol dan mencatatkan empat bantuan jaringan hanya dengan beraksi sebanyak 14 perlawanan setakat ini di saingan La Liga Sepanyol bersama Barcelona.

Mungkin ada magis yang boleh dilakukan oleh penyerang tersebut dalam usaha membawa Poland mara lebih jauh memandangkan edisi kali ini berkemungkinan jadi pentas terakhir buat beliau untuk saingan Piala Dunia.

Walaubagaimanapun, Poland memiliki rekod yang agak buruk menentang Perancis, mereka tewas dua kali pada lima perlawanan terakhir bertemu Les Bleus dan tidak berjaya mencapai kemenangan.

Perancis juga memiliki kelebihan besar selepas mereka berjaya merehatkan pemain-pemain utama pada aksi terakhir kumpulan bertemu Tunisia sebentar tadi.

Pertemuan di pusingan 16 terbaik di antara kedua-dua pasukan ini yang dijadual berlangsung pada 4 Disember akan menjadi tumpuan utama peminat bola sepak dunia.

Dapatkah The White-Reds jadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan Perancis atau sebaliknya?