Vietnam kejutkan Dortmund, Pan-gon perlu kerja lebih untuk pastikan Harimau Malaya melangkah lebih jauh di Piala AFF

634

Wakil ASEAN, Vietnam berjaya memalukan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund pada aksi persahabatan di antara kedua-dua pasukan yang berlangsung pada 30 November dengan kemenangan 2-1.

Jaringan minit akhir menerusi sepakan penalti oleh Pham Tuan Hai memastikan pasukan Vietnam memperoleh kemenangan.


Kejayaan tersebut nyata mengejutkan semua pihak tatkala dua aksi Dortmund pada jelajah persahabatan sebelum ini berakhir dengan kemenangan mudah termasuk sewaktu menewaskan wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC dengan keputusan 4-1 pada 28 November lalu.

Mereka juga telah membelasah juara bertahan Liga Premier Singapura, Lion City Sailors dengan kemenangan besar 7-2.

Ini jelas menunjukkan betapa pasukan kebangsaan Vietnam memiliki kualiti yang cukup baik meskipun beraksi sepenuhnya tanpa pemain naturalisasi.

Tidak dinafikan pasukan Dortmund hanya menghantar ‘team B’ tanpa kehadiran pemain utama seperti Marco Reus namun pujian perlu diberikan terhadap skuad Vietnam kerana kejayaan menundukkan pasukan bereputasi tinggi seperti ini amatlah menakjubkan.

Ini juga menandakan bahawa tugas berat menanti ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon bagi mempersiapkan pasukan yang mampu memberi saingan kepada Vietnam di Piala AFF tahun ini.

Malaysia dan Vietnam diundi bersama di dalam Kumpulan B di samping pasukan lain seperti Singapura, Myanmar dan Laos.

Pan-gon perlu mencari formula terbaik untuk menghasilkan sebuah pasukan yang boleh mengatasi kemampuan Vietnam serta dapat menebus semula kehampaan pada aksi di edisi Piala AFF yang lalu.

Terdahulu, Malaysia dan Vietnam turut berada di dalam kumpulan yang sama pada saingan Piala AFF 2020 yang boleh dianggap sebagai salah sebuah penampilan yang agak hambar untuk skuad negara.

Malaysia telah dimalukan oleh lawan tersebut selepas tewas dengan jaringan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan.

Pasukan negara terkandas seawal peringkat kumpulan selepas hanya mencatatkan dua kemenangan hasil daripada perlawanan menentang Kemboja dan Laos.

Permasalahan terbesar buat Malaysia pada ketika ini adalah kehilangan ramai pemain bintang yang tidak dapat menyertai skuad kali ini kerana menghadapi pelbagai masalah melibatkan peribadi dan keluarga serta kecederaan.

Ketiadaan 11 pemain Johor Darul Ta’zim serta perancang tengah utama, Azam Azih dari Sri Pahang FC menyebabkan Pan-gon bakal menghadapi kesukaran dalam menurunkan skuad terbaik.

Tiadanya kelibat pemain sayap, Arif Aiman serta pertahanan kental seperti Matthew Davies dan Corbin-Ong memaksa Pan-gon untuk menggunakan muka-muka baru bagi menghadapi saingan Piala AFF kali ini.

Aksi persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember serta Maldvies 14 Disember ini akan menjadi ujian untuk pengendali dari Korea Selatan tersebut bagi mengenalpasti pemain-pemain yang mampu menggalas cabaran negara.

Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ini akan menjadi peluang terbaik untuk melihat kemampuan lebih ramai pemain seperti dua naturalisasi terbaru Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Dalam pada itu, Vietnam nyata bersedia lebih awal selepas ketua jurulatih mereka, Park Hang-seo terlebih dahulu mengumumkan senarai 31 pemain yang dipanggil ke kem latihan pada 23 November lalu.

Tempoh latihan bersama yang lebih panjang memperlihatkan keserasian yang baik dapat dibina di antara pemain-pemain pasukan tersebut.

 Mereka juga dilihat akan mempunyai kelebihan selepas pemain bintang, Nguyen Quang Hai yang beraksi di Perancis akan menyertai mereka tatkala Ligue 2 Perancis akan diberhentikan sementara daripada 30 November sehingga 26 Disember ekoran Piala Dunia.

Mereka selepas ini dijadual bertemu Filipina di dalam satu lagi aksi pemanas badan pada 14 Disember ini sebelum Hang-seo mengumumkan senarai akhir pemain yang akan dibawa.

Pertembungan di antara Malaysia dan Vietnam akan berlangsung pada 27 Disember ini di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.