Saya ‘cukup Malaysia’ untuk wakili negara ini, harap penyokong dapat beri kepercayaan – Sergio Aguero

1,681

Penyerang Harimau Malaya, Sergio Aguero berharap para peminat dapat memberi sokongan penuh buat dirinya serta pemain baru lain dalam skuad kali ini untuk membuktikan kemampuan mereka.

Beliau mengakui dirinya ‘cukup Malaysia’ untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan bersedia untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk negara ini.


“Saya sudah berada di sini enam tahun, sebelum ini saya dapat banyak tawaran dari luar negara tetapi saya sentiasa pilih untuk kekal di sini kerana saya cintakan negara ini.

Saya minta para penyokong supaya memberi kepercayaan kepada pemain-pemain baru dalam skuad kali ini, sebagai pemain kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk negara,” katanya.

Aguero mengakui tekanan kali pertama dipanggil mewakili Malaysia tetapi mahu membuktikan kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon bahawa beliau membuat keputusan yang betul untuk menyenaraikannya.

Beliau juga berharap dapat menembusi senarai 23 pemain yang akan dibawa ke Piala AFF.

Dalam pada itu, Aguero berkata sukar buat dirinya pada musim ini kerana tidak mendapat minit permainan yang mencukupi gara-gara proses naturalisasi yang lama tetapi sering memastikan dirinya sentiasa cergas dengan sesi latihan.

“Hari-hari saya berlatih, saya tidak boleh berikan alasan walaupun saya tidak bernasib baik tidak dapat bermain dengan kerap musim ini.

Saya tak terkejut nama saya dipanggil kerana siapa yang kenal saya tahu saya bekerja dengan keras dalam training, mungkin itu yang dilihat oleh jurulatih atau prestasi saya pada musim sebelum ini.”

Menurut Aguero, sesi latihan di bawah Pan-gon tidak mudah kerana beliau menerapkan intensiti tinggi.

Walaubagaimanapun, beliau yakin dapat menyesuaikan diri untuk merebut tempat dalam pasukan.