Kejayaan untuk penyokong Muslim! Morocco teruskan perjuangan untuk benua Afrika

798

Morocco akhirnya menamatkan penantian 36 tahun mereka apabila berjaya layak ke Pusingan 16 selepas menewaskan Kanada 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2022 Qatar, sekaligus menjadi juara kumpulan.

Morocco bermula dengan garang apabila tidak menunggu lama untuk membuat serangan dan hanya mengambil masa empat minit untuk menjaringkan gol menerusi pemain sensasi Hakim Ziyech.


Tidak lama kemudian Youssef En-Nesyri menggandakan jaringan pada minit ke-23 untuk membuatkan Morocco selesa di hadapan.

Kanada tidak cepat putus asa dan terus cuba melakukan serangan tetapi masih gagal untuk mencari gol, tetapi pada minit ke-40 mereka akhirnya merapatkan jurang apabila penjaga gol Morocco, Nayef Aguerd tertampan bola masuk ke gawang sendiri.

Separuh masa kedua menyaksikan Morocco lebih banyak bermain secara bertahan, manakala Kanada pula terus melakukan serangan tetapi masih gagal menyamakan kedudukan sehingga ke wisel penamat.

Kejayaan pasukan yang dikendalikan oleh Walid Regragui ini bukanlah kemenangan untuk pasukan dari Afrika sahaja, tetapi juga telah mencetuskan kegembiraan kepada seluruh peminat Muslim di seluruh dunia.

Layak ke Pusingan 16 ini lebih manis lagi berikutan insiden yang berlaku selepas mereka berjaya menumbangkan Belgium pada perlawanan kedua yang mana berlaku insiden rusuhan peminat Morocco yang berada Brussels telah diserang oleh peminat Belgium yang mana Regragui nyata kecewa dengan insiden yang berlaku dan mengkritik rusuhan yang berlaku itu.

Tidak dapat dinafikan lagi, pelantikan Regragui sebagai ketua jurulatih Morocco telah membawa tuah buat pasukan yang diberi jolokan Atlas Lions apabila bukan sahaja berjaya memujuk pemain terbaik mereka di generasi ini iaitu Hakim Ziyech untuk keluar dari persaraan tetapi juga berjaya membentuk skuad yang ampuh dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Sepanjang tempoh itu, beliau telah mengendalikan tujuh perlawanan termasuk perlawanan sebentar tadi dengan rekod tanpa kalah iaitu lima menang dan dua seri.

Kedatangan beliau dalam pasukan nyata telah mengembalikan kepercayaan dan semangat berpasukan yang tinggi, selepas pasukan berada dalam keadaan terumbang-ambing ketika dibawah kendalian Vahid Halilhodzic.

Untuk kempen Piala Dunia kali ini, Ziyech telah membuktikan keputusannya untuk kembali menyarung jersi kebangsaan Morocco adalah keputusan tepat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat pasukan apabila beliau sudah menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol dalam tiga perlawanan.

Kehadiran beliau dalam pasukan nyata memberi inspirasi kepada rakan sepasukan lain untuk pamer aksi terbaik sepanjang tempoh perlawanan.

Ziyech seorang pemain yang cukup menakjubkan ketika beliau beraksi bersama Ajax Amsterdam, namun selepas berhijrah ke Chelsea beliau dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya.

Beliau kini dilaporkan bakal meninggalkan Stamford Bridge pada Januari ini dengan beliau dikatakan akan berhijrah ke Manchester United atau pun AC Milan.

Untuk perlawanan Pusingan 16, Morocco dijadual akan bertemu dengan naib juara Kumpulan E.