Siapa sangka? Jepun tumbangkan Sepanyol! Semangat juang tinggi dan efisyen jadi bukti

1,118

Siapa sangka pasukan dari Asia mampu tumbangkan gergasi Eropah yang juga bekas juara Piala Dunia 2010? Pastinya tidak bukan! Namun Jepun telah membuktikannya apabila berjaya menewaskan Sepanyol 2-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Dunia 2022 Qatar.

Kemenangan itu menyaksikan mereka berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara kumpulan apabila mengutip enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan.


Ini adalah kali kedua Jepun mengejutkan dunia kerana pada perlawanan pertama skuad yang diberi jolokan Samurai Blue berjaya menewaskan bekas juara Piala Dunia 2014 iaitu Jerman dengan jumlah jaringan sama 2-1.

Pada perlawanan pagi tadi, situasi sama berlaku apabila Sepanyol terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain muda sensasi Alvaro Morata pada minit ke-11. Separuh masa pertama didominasi sepenuhnya oleh La Roja.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua, Jepun membuat beberapa pertukaran dan telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan selepas tiga minit kembali bersambung menerusi Ritsu Doan pada minit ke-48.

Ternyata kemasukan Doan sekali lagi memberi tuah buat pasukan Matahari Terbit itu memberi nafas baru kepada barisan serangan mereka.

Ao Tanaka kemudian sekali lagi menambah derita Sepanyol apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-53 sekaligus menjadi gol kemenangan Jepun.

Perbezaan ketara corak permainan Jepun dapat dilihat apabila mereka lebih ‘menyimpan’ tenaga pada separuh masa pertama dan akan menunjukkan taring mereka pada separuh masa kedua dengan memberi tekanan kepada mana-mana pemain Sepanyol yang mendapat bola.

Sepanyol bermain dengan terlalu yakin dan angkuh apabila sering membuat hantara ke belakang dengan penjaga gol Unai Simon juga dilihat tidak terlalu fokus sebaliknya beraksi sedikit cuai dan ia dapat dilihat apabila pemain Jepun mula memberi tekanan.

Tidak dapat dinafikan berdasarkan statistik, Sepanyol jauh lebih hebat dari segi penguasaan bola apabila berjaya membuat 1,059 hantaran berbanding Jepun hanya 237 hantara sahaja.

Namun Jepun telah buktikan hantaran berkualiti dan efisyen menjadi kunci utama mereka apabila setiap serangan yang dilakukan oleh mereka cukup berbahaya berbanding pihak lawan.

Bagaimanapun Jepun harus mengubah sedikit corak permainan kerana mereka dapat bangkit kerana ketinggalan satu gol dan jika mereka ketinggalan dua gol pada separuh masa kedua ia pasti akan menyukarkan mereka.

Disebalik mempunyai penguasaan bola 83%, Sepanyol hanya berjaya melakukan 13 percubaan dengan hanya lima percubaan tepat, manakala Jepun pula hanya melakukan enam percubaan dan tiga percubaan tepat dengan dua daripadanya berjaya menerjah jaring.

Biarpun ramai yang menganggap pemain dari Asia tidak mempunyai stamina tinggi seperti pemain Eropah yang mempunyai kelebihan fizikal, namun Jepun telah buktikan sebaliknya apabila mereka mempamerkan kesungguhan dan stamina yang cukup luar biasa untuk menyaingi pemain lawan.

Tambahan, beraksi sebagai pasukan ‘underdog’ sangat sesuai dengan Jepun kerana apabila mereka menjadi pasukan pilihan, mereka seperti tidak dapat serap tekanan dengan baik (seperti ketika mereka tewas kepada Costa Rica sebelum ini), tapi mungkin ia akan berbeza apabila mereka bertemu dengan Croatia pada perlawanan Pusingan 16 nanti.

Untuk rekod, Jepun dan Croatia pernah bertemu sebanyak tiga kali dengan setiap pasukan pernah menang sekali, seri sekali dan tewas sekali.

Jika mereka berjaya tumbangkan Jerman dan Sepanyol yang merupakan bekas juara Piala Dunia dan EURO, tiada pasukan mana lagi yang mereka akan gentar.

Pasukan Croatia yang merupakan naib juara Piala Dunia 2018 sememangnya mempunyai pengalaman tetapi mereka adalah skuad ‘kuda tua’.

Rekod Jepun di Piala Dunia tidak segah mana kerana pencapaian tertinggi mereka adalah berjaya layak hingga ke Pusingan 16 sahaja seperti edisi 2018 apabila mereka layak ke Pusingan 16 tetapi tewas tipis 3-2 kepada Belgium.

Sudah tiba masanya buat pasukan Jepun untuk cipta sejarah baru selepas menjadi pasukan Asia kedua selepas Australia, dan pasukan Asia Timur pertama untuk layak.

Barisan kesebelasan utama pasukan Jepun bukan sahaja dibarisi pemain yang berpengkalan di Eropah sahaja tetapi juga pemain yang beraksi di liga domestik J League, sekaligus memperlihatkan betapa jauhnya kualiti mereka berbanding pasukan di Asia lain terutamanya di Malaysia.

Maka kekalahan besar Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-0 kepada Urawa Red Diamonds pada Pusingan 16 AFC Champions League bukan sekadar nasib tetapi realitinya terdapat jurang besar kualiti antara J League dan Liga Malaysia.

Oleh itu, jika Jepun mahu menjadi sebuah pasukan yang lebih baik dan memilih untuk beraksi dalam UEFA Nations League juga tiada masalah kerana mereka mampu bersaing dengan pasukan terbaik, dan mereka telah buktikan selepas tewaskan Jerman dan Sepanyol.

Fakta tidak pernah berbohong! Semoga Jepun dapat melangkah lebih jauh lagi pada kempen Piala Dunia kali ini.