Sanggup sewa pesawat untuk Piala AFF, Indonesia serius mahu julang trofi, dah serik jadi naib juara

1,232

Pencapaian terbaik sekadar muncul naib juara sebanyak enam kali dalam kejohanan Piala AFF, Indonesia dilihat betul-betul mahu menamatkan badi tersebut pada edisi kali ini.

Berdasarkan skuad yang ditampilkan oleh ketua jurulatih, Shin Tae-yong, Indonesia bakal tampil dengan kekuatan ‘full force’, termasuk mereka yang bermain di Eropah iaitu iaitu Elkan Baggott, Egy Maulana, Witan Sulaeman dan Sandy Walsh.


Selain itu, pemain naturalisasi baru yang mewakili Johor Darul Ta’zim, Jordi Amat turut dibawa untuk memperkuatkan pasukan.

Jika dilihat senarai awal 28 pemain yang dipanggil untuk persiapan ke Piala AFF, boleh dikatakan lebih berbisa dan merupakan penambahbaikan daripada tahun lalu, ketika mereka menjadi naib juara.

Baru-baru ini, Tae-yong juga dilaporkan berkata bahawa Indonesia akan menyewa sebuah pesawat sepanjang kejohanan itu berlangsung bagi memudahkan perjalanan.

Ini kerana bagi mengelakkan anak-anak buahnya keletihan dengan jadual perjalanan ‘away day’ jika menaiki pesawat komersil.

Beliau juga mengingatkan para pemain sasaran mereka pada kejohanan ini adalah untuk menjadi juara bagi menaikkan martabat bola sepak negara itu.

Sebelum ini, Tae-yong juga sanggup terbang ke England dan Belgium bagi berjumpa pihak pengurusan Gillingham FC dan KV Mechelen semata-mata untuk ‘memujuk’ mereka melepaskan Elkan Baggott dan Sandy Walsh untuk ke Piala AFF.

Walaupun beliau boleh saja menggunakan teknologi yang ada seperti panggilan video atau perbualan telefon, kesungguhan yang ditunjukkannya itu menunjukkan betapa seriusnya mereka mahu menjulang Piala AFF buat kali pertama.

Berdasarkan reputasi semasa dan senarai skuad, Indonesia dilihat antara pencabar utama pada kejohanan itu selain Vietnam dan penyandang juara, Thailand.

Tahun lalu, Indonesia berjaya mara ke perlawanan akhir namun tewas kepada Thailand 6-2 secara agregat pada perlawanan akhir.