Mampukah prinsip yakini pemain muda dan Tan Cheng Hoe bawa Selangor lebih cemerlang musim depan?
Selangor FC mengakhiri saingan Liga Malaysia musim ini dengan keputusan yang kurang memuaskan melihat kepada status mereka sebagai antara nama besar dalam bola sepak negara suatu ketika dahulu.
Pencapaian terbaik mereka adalah ketika muncul sebagai naib juara Piala Malaysia selepas kecundang di tangan Johor Darul Ta’zim FC pada perlawanan akhir 26 November lalu.
Satu perkara yang boleh dipuji tentang pasukan ini adalah keyakinan mereka memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi dan menjadi sandaran utama kelab tersebut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka telah berjaya mengangkat beberapa bakat-bakat muda untuk diserap masuk ke pasukan B-19, B-23 dan senior negara.
Antaranya adalah Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal Lau, Sharul Nazeem serta Quentin Cheng yang baru sahaja dipanggil oleh Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan ke saingan Piala AFF tahun ini.
Mukhairi sering mencuri tumpuan setiap kali diturunkan dengan kesungguhan serta kawalan bola yang cukup kemas ditunjukkan olehnya.
Untuk saingan Liga Super 2022, Mukhairi telah beraksi sebanyak 21 kali dan berjaya menjaringkan tiga gol daripadanya.
Beliau juga muncul sebagai tunjang kekuatan pasukan di saingan Piala Malaysia selepas bermain untuk kesemua perlawanan dan berjaya mencatatkan empat bantuan jaringan.
Tiga daripada ‘assist’ tersebut berjaya membantu Selangor menewaskan Terengganu FC di pusingan separuh akhir Piala Malaysia.
Selain pemain ini, ada lagi beberapa nama yang perlu diberi perhatian seperti Haiqal Haqeemi, Faiz Amer serta Aliff Izwan yang banyak beraksi buat pasukan Selangor FC II musim ini.
Mereka merupakan antara pemain utama yang telah membantu skuad B-19 negara menjuarai saingan Piala AFF B-19 tahun ini.
Selain bakat tempatan, Selangor turut membawa masuk pemain import muda untuk memperkuatkan pasukan.
Tenaga luar berusia tidak lebih daripada 23 tahun seperti Hein Htet Aung, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan Kelvin Kyei berjaya menjadi antara kelebihan besar yang dimiliki oleh skuad Selangor.
Kehadiran pemain-pemain muda ini boleh dianggap sebagai nadi utama buat pasukan Lembah Klang ini pada setiap perlawanan.
Tidak dapat dinafikan, Selangor bermula dengan hambar pada awal musim sewaktu berada di bawah kendalian bekas jurulatih, Michael Feichtenbeiner.
Rentetan kekalahan demi kekalahan yang dialami menyebabkan penyokong setia mula menunjukkan perasaan kecewa dan suarakan pendapat mereka secara terbuka kepada pihak pengurusan.
Jurulatih berasal daripada Jerman tersebut sekadar memenangi tujuh perlawanan daripada 17 perlawanan keseluruhan yang dibimbing olehnya.
Ini termasuk kekalahan besar memalukan 5-1 di tangan pasukan JDT pada Jun lalu serta tiga kekalahan berturut-turut kepada pasukan Sri Pahang, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC sebelum beliau ditukarka tugas kepada Pengarah Teknikal.
Segalanya tampak berubah pada penghujung musim selepas pasukan ini diambil alih oleh ketua jurulatih baru berpengalaman, Tan Cheng Hoe.
Cheng Hoe berjaya mengubah mood pasukan selepas berhasil menghadiahkan kemenangan demi kemenangan sebelum musim berakhir.
Beliau hanya tewas dua kali daripada 11 perlawanan sepanjang mengendalikan skuad Gergasi Merah setakat ini.
Revolusi yang bakal dibawa oleh Cheng Hoe ini mampu memberi sesuatu kepada pasukan Selangor dalam usaha memperbaiki semula pencapaian pada tahun hadapan.
Dengan khabar angin kemasukan beberapa pemain baru, Selangor dijangka akan menjadi antara pencabar terkuat bagi saingan Liga Super musim depan.
Tambahan pula, kehadiran pemain muda berkualiti yang dimilki oleh meraka pada ketika ini akan menjadi satu kelebihan besar buat pasukan tersebut tatkala akan menghadapi saingan liga yang semakin panjang.
Rotasi pemain serta corak permainan berbeza boleh digunakan oleh Cheng Hoe bagi memastikan mereka mampu memberi saingan secara konsisten sehingga ke penghujung cabaran sekaligus untuk merebut slot layak ke peringkat Asia.
Pada masa yang sama, Cheng Hoe sememangnya terkenal dengan kemampuannya memanfaatkan kudrat pemain muda sepertimana yang pernah dilakukan sewaktu membimbing pasukan Kedah satu ketika dahulu.
Gabungan dua elemen ini dilihat akan membantu kebangkitan semula Selangor untuk membuktikan status mereka sebagai King of Malaya.
Harapnya Misi ke Asia Bosskur yang sering disebut-sebut oleh peminat setia pasukan dapat direalisasikan oleh Cheng Hoe dan pemain pada musim depan!