Ramai pemain tak dapat sertai Piala AFF, sudah tiba masa AFF pertimbang adakan kejohanan ketika ‘FIFA days’

1,321

Rata-rata pasukan yang bakal menyertai kejohanan Piala AFF pada hujung bulan ini kelihatan sudah memulakan sesi latihan masing-masing.

Namun, terdapat beberapa pasukan yang akan mengharungi kejohanan itu tanpa kekuatan penuh kerana terdapat tonggak mereka yang tidak dapat turut serta.


Antaranya Malaysia yang kehilangan pemain seperti Arif Aiman dan Corbin Ong, Thailand yang tidak dapat membawa Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat, serta Indonesia yang dilaporkan hanya dibenarkan menggunakan khidmat Elkan Baggott sekiranya mereka melangkah ke separuh akhir.

Ini sedikit sebanyak mengurangkan ‘seri’ Piala AFF yang merupakan kejohanan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Dari sudut pemain-pemain dan kelab yang diwakili, mereka sememangnya tidak melanggar sebarang peraturan untuk menolak panggilan skuad kebangsaan memandangkan peraturan FIFA tidak kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa.

Di Malaysia, perkara itu ternyata tidak disenangi oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana pemain kelabnya dikecam ramai gara-gara isu tersebut.

Baginda menyifatkan bahawa Piala AFF adalah kejohanan yang mengganggu pemain kerana masa penganjurannya di luar kalendar FIFA.

Sementara itu, ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares juga tidak bersetuju untuk melepaskan pemain untuk Piala AFF kerana mengganggu persiapannya menghadapi liga.

Beliau bagaimanapun tetap melepaskan tiga pemainnya yang dipanggil walaupun keberatan, tetapi menggesa pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melakukan sesuatu.

Pemain terbaik kejohanan edisi lalu, Chanathip pula awal-awal lagi memberitahu beliau tidak mahu terlibat gara-gara mahu berehat selepas melalui musim yang panjang bersama Kawasaki Frontale.

Dengan pelbagai situasi sama yang dilalui oleh beberapa pasukan, mungkin sudah tiba masanya untuk pihak AFF mengkaji semula masa penganjuran kejohanan itu.

Ini kerana, pada edisi selepas ini tidak mustahil perkara sama akan berulang lagi dan lebih ramai bintang yang tidak menyertai kejohanan itu.

Sejak beberapa tahun ini, semakin ramai pemain-pemain dari Asia Tenggara mendapat tempat di kelab-kelab Eropah di mana kalendar mereka sedang berjalan ketika Piala AFF berlangsung, perkara yang juga perlu dipertimbangkan.

Selain itu, terdapat juga pemain yang bermain di liga Asia lain yang baru sahaja melengkapkan musim dan memerlukan rehat

Jadi adalah difahami mengapa kelab-kelab sukar untuk melepaskan pemain mereka dan ada pemain yang menolak panggilan untuk ke Piala AFF.

Setiap tahun FIFA telah menetapkan beberapa tarikh yang diletakkan dalam kalendar perlawanan antarabangsanya.

Pihak mungkin boleh mempertimbangkan untuk menganjurkan kejohanan tersebut ketika salah satu kalendar FIFA sedang berlangsung.

Jika kejohanan tersebut dapat dianjurkan pada kalendar FIFA, isu sebegini sudah pasti tidak akan timbul dan kelab tidak mempunyai alasan untuk tidak melepaskan pemain mereka.