FAT jalin kerjasama dengan Buriram United bangunkan pasukan B-18, FAM boleh contohi perkara sama bersama JDT

550

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) selangkah ke hadapan dalam memastikan skuad bawah umurnya semakin berkembang apabila menjalinkan kerjasama dengan juara Liga Thailand, Buriram United untuk membangunkan pasukan B-18.

Pengerusi Buriram United, Newin Chidchob menyambut baik perkara itu dan berkongsi harapannya untuk menjadikan pemain muda Thailand yang lahir pada tahun 2005 dan 2006 sebagai bintang juga mampu melangkah ke pusingan suku akhir Piala Asia B-19 2024 dan juga berharap mereka mampu layak ke Piala Dunia B-20 2025.


Menurutnya, kelab itu akan menangggung segala perbelanjaan seperti jurulatih dan fasiliti latihan dan menjadikan adik beradik, Supachok Sarachat dan Suphanat Mueanta yang merupakan bekas pemain dan pemain kelab itu sebagai contoh produk mereka yang berjaya.

Beliau juga berkata kelab itu mempunyai pengalaman yang buruk apabila menghantar pemain mereka dalam skuad B-17 dan memberitahu bahawa beliau sering dikritik sebelum ini oleh FAT, jadi inilah masanya untuknya menunjukkan apa yang beliau mampu lakukan untuk bola sepak negara itu.

Inisiatif pembangunan pemain muda oleh Buriram United sememangnya amat disegani di negara itu kerana berjaya melahirkan ramai bintang seperti Suphanat Mueanta, Supachok Sarachat, Ratthanakorn Maikami, dan Anon Amornlerdsak.

Mereka juga menjalankan kerjasama dengan kelab ternama Eropah seperti Borussia Dortmund dan Leicester City untuk pembangunan bakat muda.

Mengambil inspirasi daripada kerjasama yang dilakukan oleh FAT dan Buriram United ini, mungkin perkara sama boleh dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membangunkan bola sepak negara ini.

Jika dilihat dalam arena bola sepak Malaysia, kelab yang bersesuaian untuk menjalankan kerjasama itu mungkin Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mendominasi bola sepak tempatan.

Musim ini, kelab itu berjaya merangkul 13 trofi dari pasukan B-12 hinggalah pasukan utama.

Pasukan utamanya juga mencatat rekod quadruple apabila memenangi Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, manakala di peringkat Asia pula kelab itu menunjukkan peningkatan apabila berjaya melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Jadi tidak salah untuk FAM ‘belajar’ daripada kepakaran yang ada pada JDT dalam membangunkan pasukan kebangsaan, bukan sahaja peringkat bawah umur tetapi sehingga ke skuad senior.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga merupakan bekas presiden FAM, pastinya baginda tahu apa yang diperlukan dalam membangunkan pemain muda negara.

Lagipun, rata-rata pemain yang berada dalam skuad kebangsaan juga merupakan pemain dari JDT, jadi kelab secara langsung dapat terlibat dengan pembangunan pemain mereka sendiri.

Apa yang penting adalah kebajikan pemain-pemain sudah tentu dijaga dengan rapi memandangkan ramai pemain dari kelab itu, dan mereka sememangnya dikenali menjaga kebajikan pemain dengan baik.

Di peringkat bawah umur pula ia akan memastikan negara mempunyai asas yang baik dalam pembentukan skuad bawah umur yang ketika ini tidak begitu menentu.

Kejayaan yang dilakar oleh pasukan-pasukan bawah umur JDT dari B-12 hingga JDT III boleh dijadikan ‘blueprint’ untuk membangunkan bakat muda.

Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, tidak mustahil pasukan kebangsaan dapat mencatat kejayaan seperti yang dilakukan oleh JDT.