Satu lagi kegagalan penalti namun Ghana berjaya ‘singkirkan’ Uruguay selepas sedekad
Ghana terpaksa akur dengan kekalahan mereka ke atas musuh peribadi, Uruguay dengan keputusan 2-0 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan bagi saingan Piala Dunia tahun ini.
Lebih menyedihkan, mereka sekali lagi terlepas peluang menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan sewaktu bertemu Uruguay sepertimana yang berlaku 10 tahun yang lalu di Afrika Selatan.
Kali ini giliran ketua pasukan, Andre Ayew yang gagal menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-21 perlawanan selepas Mohammed Kudus dikasari.
Meskipun tewas, wakil benua Afrika tersebut tetap memperolehi satu kepuasan selepas mereka berjaya memastikan dendam kesumat terhadap Uruguay akhirnya terbalas.
Ucapan penghargaan semestinya perlu diberikan kepada Korea Selatan yang berjaya mengejutkan juara Euro 2016, Portugal selepas memenangi perlawanan terakhir kumpulan menerusi gol minit akhir yang dijaringkan oleh Hwang Hee-chan.
Kejayaan ini meletakkan pasukan Asia tersebut di tangga kedua Kumpulan H sekaligus layak ke pusingan kalah mati menerusi kelebihan dari segi jaringan yang lebih banyak untuk mengatasi Uruguay di tempat ketiga.
Ini adalah kali pertama Uruguay gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas berjaya melakukannya pada empat edisi berturut-turut.
Pada perlawanan penentuan ini, Uruguay dilihat terlalu selesa dengan kelebihan dua gol yang berjaya diperolehi pada babak pertama dan melonggarkan serangan sejurus aksi separuh masa kedua bermula.
Mungkin mereka menganggap bahawa pasukan Korea Selatan tidak akan mampu menewaskan Portugal yang dibarisi oleh pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes.
Dapat dilihat bahawa barisan serangan Uruguay yang dibarisi oleh pemain berumur seperti Luis Suarez dan Edison Cavani serta pemain muda seperti Darwin Nunez yang masih belum matang menjadi antara punca ketumpulan buat negara tersebut pada edisi kali ini.
Buat Ghana, kegagalan Uruguay ini merupakan kejayaan bagi mereka untuk membalas dendam terhadap apa yang berlaku sedekad lalu di Piala Dunia 2010.
Tindakan penyerang Uruguay, Suarez yang menepis tandukan daripada pemain Ghana menggunakan tangan pada perlawanan tersebut akan terus segar menjadi antara momen hitam dalam sejarah penglibatan negara tersebut di pentas Piala Dunia.
Tambahan pula, tandukan tersebut merupakan peluang terbesar buat pasukan Ghana pada ketika itu untuk memenangi perlawanan dan layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama di dalam sejarah penyertaan mereka.
Ghana tewas pada perlawanan yang berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti setelah permainan masa penuh berakhir dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan Sulley Muntari (Ghana) dan Diego Forlan (Uruguay).
Dengan kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, Uruguay mara ke pusingan separuh akhir buat permata kali semenjak kali terakhir melakukannya pada tahun 1970, 40 tahun sebelumnya.
Terbaru, selepas sedekad kejadian tersebut berlaku, Suarez secara umum menyatakan pendiriannya untuk tidak akan meminta maaf terhadap tindakannya serta kegagalan Ghana pada ketika itu menerusi temu ramah yang dilakukan sebelum pertemuan kali ini berlangsung.
Suarez menyalahkan kegagalan bekas ketua pasukan Ghana, Asamoah Gyan untuk menyempurnakan sepakan penalti yang telah diberikan kepada pasukan tersebut selepas beliau dikenakan kad merah pada minit ke-120 ekoran daripada tindakannya.
Kenyataan tersebut menambah amarah di kalangan peminat Ghana dan kegagalan Uruguay pada hari ini nyata menggembirakan mereka walaupun pasukan negara mereka turut berputih mata.
Dalam pada itu, ini dilihat bakal menjadi penampilan terakhir Suarez di saingan Piala Dunia tatkala usianya yang sudah mencecah 35 tahun.
Ini merupakan kali keempat beliau mewakili Uruguay selepas penampilan sulungnya pada edisi 2010 yang lalu.
Pada masa yang sama, Ghana yang hadir dengan skuad yang agak muda kali ini dilihat bakal menjadi sebuah pasukan yang kuat beberapa tahun akan datang.
Pemain muda seperti Kudus akan menjadi ancaman yang hebat buat negara-negara lain satu hari nanti apabila corak permainan yang lebih matang dan berkualiti dapat dipamerkan olehnya.
Kudus melalui debut Piala Dunia yang baik buatnya selepas berjaya mencatatkan dua gol daripada dua penampilan awal.
Pemain berusia 22 tahun tersebut akan terus menjadi permata yang akan semakin menyinar untuk Ghana dalam masa terdekat.
Ia akan terus menjadi kesinambungan yang baik buat Ghana yang telah sekian lama bergelar antara pasukan yang kuat di Afrika.