Kalah tak apa, kita tak koyak! Portugal beri pertolongan besar buat Korea Selatan dan berjaya balas dendam pada Uruguay

518

Saingan Kumpulan H Piala Dunia 2022 Qatar sudah pun selesai apabila pasukan Portugal dan Korea Selatan telah layak ke Pusingan 16.

Korea sememangnya terdesak dan perlukan kemenangan untuk melepasi peringkat kumpulan dan mereka berjaya apabila menewaskan Portugal 2-1 pada perlawanan yang cukup dramatik sebentar tadi.


Portugal terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Ricardo Horta pada minit kelima, namun tidak lama kemudian Kim Young-gwon berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 untuk kedua-dua pasukan menghabiskan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat.

Masuk separuh masa kedua, Korea cuba menggandakan usaha untuk mencari gol tetapi gagal, namun ketika perlawanan masuk ke masa tambahan pemain sensasi Son Heung-min telah melakukan larian pantas dan berjaya melorongkan bola kepada Hwang Hee-chan yang mana beliau telah menjaringkan gol kedua pada minit ke-90+1 sekaligus berjaya kutip tiga mata.

Disebalik kemenangan ini, Portugal dengan jelas sekali dilihat seperti mahu memberi ‘pertolongan’ kepada Korea apabila mereka menurunkan pemain campuran (bukan semua pemain utama), malah telah kapten mereka Cristiano Ronaldo juga dikeluarkan awal pada separuh masa kedua.

Kemenangan Korea ini akhirnya menamatkan kemarau 12 tahun mereka tidak layak ke Pusingan 16 selepas gagal dalam dua edisi yang lalu; Piala Dunia 2014 dan 2018.

Untuk pengetahuan, ketua jurulatih Korea yang digantung satu perlawanan akibat menerima kad merah sebelum ini iaitu Paulo Bento merupakan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Portugal dari 2010 hingga 2014.

Beliau juga merupakan bekas pemain Sporting CP dari tahun 2000-2004 sebelum menjadi ketua jurulatih untuk pasukan junior Sporting CP pada tahun 2004-2005, kemudian diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad utama kelab itu pada tahun 2005 hingga 2009.

Dua tonggak utama Portugal iaitu Ronaldo dan Bruno Fernandes merupakan bekas pemain Sporting CP.

Ronaldo juga pernah bermain di bawah kendalian Bento ketika bersama skuad kebangsaan Portugal selama empat tahun (2010-2014), jadi sudah semestinya mereka mempunyai hubungan yang baik.

Tambahan pula penjaring gol kedua Korea iaitu Hee-chan juga mempunyai hubungan baik dengan negara itu berikutan ramai rakan sepasukannya di Wolverhampton Wanderers adalah dari Portugal, termasuk Ruben Neves yang turut turun beraksi tadi.

Oleh itu, tidak boleh berkata Portugal tidak ‘bantu’ Korea pada perlawanan tadi kerana tiada siapa akan percaya.

Biarpun kalah, tetapi Portugal sudah pasti tidak kecewa sebaliknya gembira apabila mereka akhirnya dapat membalas dendam kepada pasukan Uruguay dengan menyingkirkan mereka dari kempen Piala Dunia 2022.

Ini kerana kepada peminat Portugal, mereka sudah pasti ingat pada perlawanan Piala Dunia 2018 di Rusia yang mana Uruguay telah tewaskan Portugal 2-1 dalam perlawanan Pusingan 16 sekaligus mengagalakan impian untuk mara ke suku akhir.

Jadi jangan cakap tiada motif unsur motif balas dendam apabila Portugal dilihat memberi kemenangan kepada Korea.