Bukan perkara mustahil buat Korea Selatan, pernah aibkan Brazil di bawah kendalian pengadil Malaysia
Brazil bakal bertemu wakil Asia, Korea Selatan pada aksi seterusnya di pusingan 16 selepas berjaya dinobatkan sebagai juara Kumpulan G.
Kejayaan mereka sedikit tercalar selepas mengalami kekalahan mengejut ke atas pasukan dari benua Afrika, Cameroon pada perlawanan penutup peringkat kumpulan.
Namun, situasi tersebut tetap tidak menghalang mereka untuk kekal berada di puncak kumpulan dengan perbezaan dari segi jaringan dengan pasukan di tangga kedua, Switzerland yang turut berjaya mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan.
Tidak dapat dinafikan, rekod pertemuan di antara Korea Selatan dan Brazil berpihak kepada pasukan Amerika Selatan tersebut dengan catatan enam kemenangan.
Walaupun begitu, Korea Selatan pernah melakukan kejutan sewaktu menewaskan lawan tersebut dalam satu aksi persahabatan yang berlangsung pada tahun 1999.
Perlawanan tersebut diakhiri dengan keputusan berpihak kepada gergasi Asia tersebut menerusi kemenangan tipis 1-0.
Pada ketika itu, Brazil turut dibarisi bintang handalan seperti Juninho, Rivaldo dan Cafu yang merupakan pemain yang telah berjaya membantu negara tersebut menjuarai Piala Dunia pada tahun 2002.
Tidak kurang hebatnya skuad Korea Selatan pada masa itu yang membariskan kebanyakan legenda mereka terutama sekali Hong Myong-bo yang pernah beraksi di MLS bersama kelab Los Angeles pada tahun 2004 sebelum mengumumkan persaraan.
Lebih menarik, perlawanan tersebut telah diadili oleh pengadil daripada Malaysia bernama Selearajen Subramaniam.
Pengadil berasal dari Kuala Lumpur itu memulakan kariernya dari tahun 1991 sehingga 2001 dan banyak mengendalikan perlawanan pra Piala Dunia.
Antara perlawanan besar yang pernah diadili oleh Subramaniam di peringkat antarabangsa adalah perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 1998 di antara Jepun dan Oman.
Dalam pada itu, barisan pertahanan Brazil kali ini tampak sedikit goyah dan mampu menjadi salah sebuah titik kelemahan utama buat pasukan ini tatkala bakal berhadapan dengan jentera serangan Korea Selatan yang bertenaga.
Thiago Silva dan Marquinhos memiliki pengalaman yang cukup diperlukan buat pasukan namun usia mereka yang sedikit tua menyukarkan kedua-dua pemain memberikan aksi 100 peratus pada setiap perlawanan.
Lebih merbahaya jika perlawanan peringkat kalah mati selepas ini terpaksa diteruskan lebih panjang sehingga ke masa tambahan.
Walaupun sekadar menghantar pasukan kedua pada perlawanan menentang Cameroon, tetap perlu diakui bahawa barisan serangan Brazil terlalu mengharapkan keberadaan Neymar di atas padang.
Kehadiran beliau pada perlawanan selepas ini mungkin akan mampu mencipta perbezaan serta menjadi watak penting dalam membantu barisan serangan merencana asakan demi asakan merbahaya ke arah gawang Korea Selatan.
Akan tetapi, ketua pasukan Korea Selatan, Heung Ming-son juga semakin bertambah baik dari masa ke semasa dan perkara ini perlu dititik berat oleh kesemua pemain Brazil bagi memastikan mereka dapat menyekat kemaraan pemain lincah ini.
Pada masa yang sama, ia adalah sagu hati terbaik buat Cameroon di atas kejayaan menjadi pasukan dari benua Afrika pertama yang berjaya mengalahkan Brazil di pentas Piala Dunia.
Lebih manis, jika Brazil menepati ramalan untuk menjadi juara pada edisi kali ini, Cameroon akan kekal menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya kalahkan mereka.
Dan untuk legenda Cameroon, Samuel Eto’o, beliau perlu memantapkan lagi bakat tilikkannya untuk kejohanan Piala Dunia yang akan datang.
Harapan Eto’o kini hanya tinggal kepada Morocco yang masih berpeluang untuk layak ke perlawanan akhir dan sekurang-kurangnya muncul naib juara seperti mana yang dikatakan oleh bekas juara UEFA Champions League tersebut.
Eto’o yang juga merupakan Presiden Persekutuan Bola Sepak Cameroon menjangkakan kesemu wakil Afrika iaitu Senegal, Ghana Tunisia, Morocco termasuk Cameroon layak ke peringkat kalah mati.
Daripada lima pilihan tersebut, Afrika kini hanya berbaki dua wakil sahaja lagi yang berjaya menempatkan diri ke pusingan seterusnya iaitu Senegal dan Morocco.
Berbalik kepada Korea Selatan dan Brazil, Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu adalah pada perlawanan persahabatan antarabangsa yang dilangsungkan pada Jun lalu.
Brazil memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan selesa 5-1 menerusi jaringan yang dicatatkan oleh Richarlison, Neymar (2), Philippe Coutinho dan Gabriel Jesus manakala gol Korea Selatan dijaringkan oleh Hwang Ui-jo.
Besar harapan peminat bola sepak Asia untuk melihat wakil benua ini terus melangkah jauh pada Piala Dunia kali ini.