Rombakan besar-besaran Kedah, revolusi besar bawah empayar pengurusan baru

1,889

Tamat musim yang mengecewakan buat pasukan Kedah Darul Aman, selepas mereka terpaksa berpuas hati dengan kedudukan di tangga kelapan dengan hanya mencatatkan lapan kemenangan dan 11 kekalahan daripada 22 perlawanan.

Mereka juga kecundang di Piala Malaysia selepas terkandas di pusingan 16 dengan kekalahan di tangan Negeri Sembilan menerusi keputusan agregat 2-1.


Susulan kemerosotan demi kemorosotan yang dialami pada penghujung musim, mereka telah melepaskan khidmat bekas ketua jurulatih, Aidil Sharin yang telah bersama pasukan selama lebih kurang empat tahun bermula pada 2018.

Kini, Kedah terus rancak melakukan rombakan besar di dalam pasukan bagi menyiapkan sebuah skuad yang lebih mantap bagi menghadapi saingan musim 2023.

Melepaskan dua belas pemain tempatan yang terdiri daripada pemain seperti Amirul Azhan, Khairu Azrin, Ilham Amirullah termasuk tiga pemain berpengalaman iaitu Shahril Sa’ari, Syazwan Zainon dan Azammuddin Akil.

Lebih mengejutkan, mereka juga telah melepaskan khidmat kelima-lima pemain import termasuk Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr yang dilihat berjaya memberi impak besar meskipun dimasukkan pada jendela perpindahan kedua.

Sepanjang baki musim ini, Mardi tampak berjaya memberi kesan dengan ketajamannya di hadapan gawang lawan.

Dalam 12 perlawanan Liga Super, beliau telah berjaya menjaringkan lima gol serta mencipta tujuh bantuan jaringan serta turut cemerlang ketika beraksi di pentas Piala AFC dengan empat gol daripada empat aksi keseluruhan.

Manakala untuk Sanrawat, pemain berasal dari Thailand tersebut berjaya membantu dalam mengemudi bahagian tengah pasukan dengan baik menerusi corak permainnya yang tenang dan tersusun.

Tidak dapat dinafikan, kehilangan pemain ini semestinya dirasai namun mungkin ada perancangan yang lebih baik sedang dirancang oleh barisan pengurusan baru Kedah di bawah kepimpinan pemilik, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Selain pemergian pemain-pemain ini, ada 12 pemain semasa yang telah sah akan terus kekal untuk memperkuatkan pasukan.

Khidmat tenaga muda berkualiti, Fayadh Zulkifli serta Fadzrul Daniel akan terus ditagih tatkala kedua-dua mereka memiliki potensi yang cukup besar untuk terus berkembang menjadi pemain yang lebih hebat di masa hadapan.

Pada masa yang sama, difahamkan Kedah bakal memiliki ketua jurulatih baru yang mempunyai pencapaian baik di pentas Liga Malaysia.

Calon yang sering disebut-sebut setakat ini adalah merupakan bekas ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain yang telah berjaya membawa skuad Sang Penyu melayakkan diri ke saingan Piala AFC tahun hadapan.

Nafuzi merupakan seorang jurulatih muda yang mempunyai kualiti sangat baik menerusi kepakaran taktikalnya yang terbukti berkesan sebelum ini.

Selain menduduki tangga kedua Liga Super musim ini, Nafuzi turut berjaya membimbing skuad Terengganu untuk meraih gelaran naib juara Piala FA serta layak sehingga ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.

Kehadiran Nafuzi ke skuad Hijau Kuning semestinya akan menjadi penambahan terbaik kepada revolusi baru yang ingin dilakukan ini dalam usaha membawa Kedah kembali menjadi pasukan yang digeruni seperti sebelum-sebelum ini.

Selain kemasukan jurulatih, buat masa ini Kedah dilihat akan turut menerima kehadiran penjaga gol baru bagi saingan musim depan untuk bersama-sama dengan Ifwat Akmal.

Penjaga gol tersebut adalah bekas pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan susulan pengunduran kelab Lembah Klang tersebut.

Kalamullah merupakan seorang penjaga gol berkualiti yang telah mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang beberapa musim.

Tahun ini, penjaga gol berusia 27 tahun tersebut berjaya mencatatkan rekod sembilan clean sheets menerusi 21 perlawanan untuk membantu PJ City menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan.

Beliau juga telah berjaya menarik minat ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk menyenaraikannya di dalam beberapa kem latihan sebelum ini serta turut berhasil dibawa ke kejohanan King’s Cup pada September lalu.

Keberadaan Kalamullah pastinya mewujudkan persaingan sihat di antara beliau dan Ifwat dalam merebut tempat sebagai penjaga gawang utama pasukan.

Peminat semestinya tidak sabar untuk menantikan perubahan demi perubahan yang bakal diumumkan oleh pihak pengurusan dalam masa terdekat bagi melihat ada petanda positif untuk kelab pada musim depan.

Harapnya Kedah akan mampu kembali bangkit dan menjadi antara pencabar terkuat di dalam saingan Liga Malaysia 2023 yang semestinya menjanjikan aksi yang lebih menarik untuk kesemua pasukan.