Akademi Right to Dream terus hasilkan pemain bertaraf dunia buat Ghana, AMD boleh ikut pelan tindakan sama

490

Right to Dream merupakan antara akademi terkenal di Afrika yang mula diperkenalkan di Ghana pada tahun 1999 oleh ketua pencari bakat Manchester United di benua tersebut, Tom Veron.

Antara bekas pemain Ghana yang terhasil daripada akademi ini adalah Asamoah Gyan yang boleh dikatakan sebagai legenda bagi negara tersebut.


Gyan terkenal selepas penampilan luar biasanya pada aksi Piala Dunia 2010 sehingga berjaya membawa pasukan Ghana mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas di tangan Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti.

Beliau pernah beraksi bersama beberapa kelab di Eropah seperti Udinese, Rennes, Sunderland dan telah berjaya mengumpul sebanyak 107 kaps untuk pasukan negara sepanjang kariernya.

Kini, beliau diberi taggungjawab untuk menguruskan bahagian pentadbiran akademi menerusi pengalamannya di pentas antarabangsa.

Pada awal penubuhan, ia hanyalah sebuah latihan berskala kecil yang dikendalikan oleh beberapa pencari bakat serta kakitangan yang lain secara sukarela.

Namun, segalanya mula berubah pada tahun 2004 selepas mereka menjalinkan kerjasama bersama sekolah-sekolah berasrama penuh di Amerika Syarikat untuk menawarkan biasiswa sukan kepada para pemain yang berbakat.

Beberapa tahun selepas itu, mereka mula mengembangkan empayar akademi tersebut selepas berjaya membuka beberapa pusat fasiliti baru di sekitar Ghana.

Titik kebangkitan semakin mula ditunjukkan pada tahun 2016 selepas mereka membeli saham sebuah kelab Denmark, FC Nordsjaelland menjadikan Right to Dream sebagai organisasi Afrika pertama yang telah membeli kleab di Eropah.

Pemilikan kelab tersebut telah membolehkan mereka memastikan kesinambungan baik berlaku di antara lepas akademi yang berpotensi untuk terus mengembangkan karier lebih jauh di peringkat tertinggi.

Contoh terbaik adalah kelahiran pemain muda berbakat, Mohammed Kudus yang kini menggegarkan arena bola sepak dunia.

Kudus memulakan kariernya di akademi ini sebelum diserap ke FC Nordsjaelland dan berjaya menjadi pemain termuda melakukan debut di kelab tersebut.

Kualiti yang dimiliki olehnya berjaya menarik minat gergasi Belanda, Ajax Amsterdam untuk mendapatkan khidmatnya pada tahun 2020.

Kini, beliau muncul sebagai antara pemain terpenting untuk pasukan Ajax selepas aksi berkualiti yang ditunjukkannya setakat ini.

Musim ini, beliau cemerlang di UEFA Champions League selepas berjaya menyumbat empat gol daripada enam penampilannya di pentas tertinggi Eropah tersebut.

Pada penampilannya di Piala Dunia buat kali pertama tahun ini, Kudus berjaya menjaringkan dua gol daripada tiga penampilan di peringkat kumpulan sebelum pasukan negaranya terpaksa berputih mata tersingkir awal dari kejohanan.

Dari sisi positif, beliau dilihat akan menjadi prospek masa depan untuk membawa Ghana lebih jauh di masa hadapan serta memiliki kemampuan untuk melangkah lebih tinggi di dalam kariernya.

Kesinambungan graduan tersebut menjadi antara elemen penting bagi memastikan bakat mereka sepanjang berada di dalam akademi tidak menjadi sia-sia begitu sahaja.

‘Blueprint’ inilah yang perlu dicontohi di Malaysia oleh Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dalam memastikan pemain muda negara dapat terus berada di tahap terbaik untuk jangka masa yang panjang.

Pada ketika ini, kebanyakan daripada mereka sekadar diborong oleh kebanyakan pasukan selepas tamat pengajian dan akhirnya hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang musim.

Situasi ini merencatkan perkembangan mereka sebagai pemain muda yang semakin meningkat naik dan perlu diberikan minit permainan secukupnya bagi membantu mencapai potensi diri yang terbaik.

Mungkin AMD atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mula mewujudkan satu klausa perjanjian yang boleh memanfaatkan pemain-pemain ini selain daripada penubuhan pasukan Projek FAM-MSN yang tidak mampu menampung kesemua graduan.

Mereka perlu ada satu platform yang boleh menjanjikan peluang permainan yang tinggi buat mereka selepas menghabiskan pengajian.

Semoga dengan idea penubuhan Liga Simpanan B-23 yang bakal diperkenalkan musim depan dapat membantu untuk memberi peluang secukupnya kepada pemain-pemain ini selain daripada saingan Piala Presiden dan Piala Belia.