Safawi Rasid akan beraksi di Thai League 1 bersama Ratchaburi FC

5,137

Kelab bola sepak yang beraksi di Thai League 1, Ratchaburi FC dilaporkan sudah menandatangani pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid pada jendela perpindahan kedua musum 2022/23 baru-baru ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Ratchaburi FC iaitu Tanawat Nitikanchana yang turut berkata Safawi akan menyertai pasukan itu selepas selesai tugas bersama pasukan kebangsaan.


“Sekarang ini rundingan sudah tamat. Pemain itu (Safawi) akan menyertai pasukan selepas beliau selesai dengan tugas bersama pasukan kebangsaan dan saya harap ia akan membawa penyokong baru kepada kelab kami,”

katanya yang dipetik dari Mainstand.

Pemain berusia itu akan menjadi pemain import kuota ASEAN ketiga buat kelab tersebut selepas kelab itu turut menandatangani dua pemain Myanmar, Myo Min Latt dan Hein Phyo Win baru-baru ini.

Berdasarkan semakan di laman transfermarkt, kontrak Safawi bersama pasukan Harimau Selatan itu tamat pada November 2022.

Terdahulu, Safawi merupakan salah seorang daripada dua pemain JDT yang dilepaskan untuk menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya yang berlangsung sejak 29 November lalu bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Kemboja dan Maldives pada 9 Disember dan 14 Disember sebagai persiapan menjelang Piala AFF 2022.

Dalam pada itu, Ratchaburi yang beraksi dalam liga utama di Thailand itu kini berada di kedudukan ketiga liga selepas 15 perlawanan dengan lapan kemenangan, lima seri dan dua kekalahan.