Panggilan ‘national duty’ untuk Ekor Harimau Malaya 9 & 14 Disember ini!

740

Disebalik kemeriahan peminat bola sepak di Malaysia menyaksikan Piala Dunia 2022 yang sedang hangat berlangsung di Qatar ketika ini, jangan lupa ‘tugasan’ anda untuk pasukan kebangsaan kesayangan anda Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 9 dan 14 Disember ini menentang Kemboja dan Maldives sebagai persiapan menjelang kejohanan Piala AFF 2022.


Oleh itu, sokongan padu daripada Ekor Harimau Malaya amat ditagih bukan sahaja untuk memeriahkan perlawanan tetapi juga memberi sokongan padu buat pemain negara yang akan turun beraksi.

Umum mengetahui Ekor Harimau Malaya boleh dianggap seabgai pemain ke-12 skuad negara kerana ia akan memberi tonik tambahan dan membuatkan pemain lebih bersemangat ketika beraksi di atas padang.

Perlawanan pertama menentang Kemboja ia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), manakala perlawanan kedua menentang Maldives pula akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Selepas itu, pada 24 Disember ini pula, skuad kendalian Kim Pan-gon akan memulakan kempen Piala AFF yang mana Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan bertemu dengan Laos pada 24 Disember 2022 dan Singapura pada 3 Januari 2023 yang mana kedua-dua perlawanan akan berlangsung di SNBJ.

Tiket untuk kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sudah pun mula di jual secara talian di www.tickethotline.com.my jadi jangan ketinggalan untuk penuhkan stadium untuk beri sokongan pada skuad negara.