E. Elavarasan akui Luqman Hakim tidak dapat pelepasan dari kelab untuk sertai kem latihan pusat Harimau Muda

1,922

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan mengakui sudah menghubungi pemain yang berpengkalan di Belgium iaitu untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Muda tetapi pemain itu tidak dilepaskan oleh kelabnya K. V. Kortrijk.

“Tahun ini kita ada ‘call up’ beliau tapi kelab dia tak lepaskan sebab beliau dan maklumkan ada banyak perlawanan kompetitif. Kita juga pernah panggil beliau untuk skuad senior sebelum ini tapi kelab tidak melepaskannya,”

katanya.

Baru-baru ini Elavarasan telah memanggil sebanyak 25 pemain untuk menjalani kem latihan pusat pertama bermula 27 November hingga 6 Disember sebagai persiapan menghadapi beberapa pertandingan antarabangsa termasuk Piala AFF B-23 2023, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.


Selepas menjalani perlawanan persahabatan dengan skaud senior baru-baru ini, pengendali berusia 60 tahun itu berkata skuadnya akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan esok (5 Disember) menentang pasukan dari Liga M3 iaitu PIB FC.

“Perlawanan persahabatan yang diatur untuk pasukan ini lebih kepada mahu pemain dapat menyesuaikan diri dengan sistem permainan kita. Esok pun kita ada perlawanan persahabatan dengan PIB FC untuk melihat adakah mereka sudah adaptasi dalam tempoh seminggu latihan.”

Tambahnya lagi, walaupun kejohanan yang akan disertai lambat lagi tetapi kem latihan lebih awal ini adalah bagus untuk memberi pemain pendedahan selain dapat membuat persiapan lebih awal.

Dalam pada itu, Elavarasan berkata ketika ini terdapat lebih 60 pemain berada radar mereka dan mendedahkan berkemungkinan besar untuk kem latihan kedua nanti beliau akan memanggil muka baru.

Elavarasan berkata seorang pemainnya iaitu Aliff Najmi Shaaini (Kelantan FC) telah pun diserap ke skuad utama kendalian Kim Pan-gon selepas perlawanan persahabatan antara skuad B-23 dan skuad senior baru-baru ini.

“Pada masa ini ada satu pemain yang diserap ke skuad senior iaitu Aliff Najmi Shaaini dari Kelantan FC semasa kita menentang skuad senior baru-baru ini. Mungkin lagi dua pemain akan hantar untuk sertai skuad senior selepas kem latihan ini untuk pendedahan.”

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran kedua-dua pemain itu lagi kerana beliau dan barisan kejurulatihan akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum buat keputusan.