‘Go-Kart’ terbaik! Pemecah rekod Olivier Giroud patut lebih dihargai oleh Didier Deschamps dan Perancis

439

Ada hikmah disebalik musibah yang berlaku! Itulah yang berlaku kepada pasukan Perancis kerana jika Karim Benzema tidak cedera, sudah pasti Olivier Giroud tidak akan terpilih kerana ketua jurulatih Didier Deschamps akan sentiasa memilih Benzema berbanding Giroud.

Ini kerana gaya permainan kedua-dua pemain ini hampir sama dan tidak dapat dinafikan Deschamps bersikap tidak adil kepada Giroud, namun Giroud sentiasa mempamerkan aksi tersebut apabila terpilih dan beliau seorang pemain yang cukup boleh diharap ketika Benzema tidak dapat bersama skuad Les Bleus.


Pada perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia 2022 Qatar membabitkan Perancis dan Poland, Giroud telah berjaya memecah rekod sebagai pemain penjaring terbanyak dalam sejarah Perancis apabila menjaringkan 52 gol sepanjang bersama pasukan kebangsaan.

Rekod 52 gol yang dijaringkan pemain berusia 36 tahun itu akhirnya telah mengatasi pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis sebelum ini iaitu Thierry Henry yang menjaringkan 51 gol.

Dalam perlawanan sebentar tadi, Perancis berjaya tumpaskan Poland 3-1 dengan Giroud membuka akaun jaringan pasukan pada minit ke-44.

Pada separuh masa kedua, Perancis terus mendominasi perlawanan dan akhirnya pemain paling bernilai di dunia, Kylian Mbappe telah menjaringkan dua gol sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir.

Gol saguhati Poland dijaringkan oleh Robert Lewandowski pada minit ke-90+9 menerusi sepakan penalti.

Untuk pengetahuan, kedua-dua pemain Benzema dan Giroud sebenarnya tidak bercakap antara satu sama lain walaupun mereka adalah rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan.

Malah mereka bukan sahaja bersaing di dalam padang, tetapi di luar juga berikutan Benzema sering mengkritik dan memandang rendah pada Giroud.

Dalam satu temubual Benzema bersama sebuah agensi berita, beliau dengan lantang mengkritik rakan sepasukannya itu apabila ditanya mengenai kualiti Giroud dengan berkata; “You don’t confuse F1 with go-karting. And I’m being kind. Next..and I know I’m F1.”

Dalam pada itu, pada aksi sebentar tadi dapat dilihat Mbappe sentiasa mampu beraksi dengan baik apabila bermain dengan Giroud kerana perbezaan kualiti.

Mbappe telah menjaringkan 16 gol dalam 14 perlawanan dan beliau baru sahaja berusia 23 tahun, dan ini memberi gambaran bahawa beliau berkemungkinan besar mampu menjadi memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis nanti.

Giroud mula menyinar ketika beraksi bersama kelab Montpellier, tetapi beliau mula mencipta nama apabila berhijrah ke Arsenal yang ketika itu dibawah kendalian Arsene Wenger yang mana beliau bermain untuk kelab itu selama enam musim.

Walaupun Giroud bukan seorang penyerang yang laju, tetapi beliau menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya iaitu kekuatan fizikal, aerial power, penyudah yang cukup berkualiti.

Biarpun beliau kini berusia 36 tahun, namun beliau masih lagi bermain di peringkat tertinggi dan telah membantu AC Milan untuk menjulang kejuaraan Serie A sekaligus menamatkan kemarau lebih sedekad untuk mendakap trofi tersebut.

Sepanjang kariernya, Giroud telah berjaya memperoleh pelbagai kejayaan termasuk merangkul Piala Dunia 2018.

Beliau telah beraksi sebanyak 610 perlawanan dan telah menjaringkan 246 gol ketika bermain untuk kelab, manakala untuk pasukan kebangsaan pula beliau sudah membuat sebanyak 117 penampilan dengan menjaringkan 52 gol.

Sementara itu, untuk Lewandowski pula beliau mungkin merasakan dirinya layak untuk mendapat anugerah Ballon d’Or, tetapi beliau telah tewas kepada Lionel Messi dan Mbappe berturut-turut, jadi beliau perlu bekerja lebih keras lagi untuk Barcelona sekiranya mahu berpeluang untuk julang anugerah itu pada tahun hadapan.

Poland perlu menerima kekalahan itu dengan hati terbuka kerana walaupun mereka bermain mati-matin, tetapi perbezaan kualiti yang ketara menjadi faktor utama mengapa Perancis lebih layak menang.

Melihat pada statistik perlawanan tadi, Poland hanya berjaya melakukan 11 percubaan dengan hanya dua percubaan tepat ke sasaran, berbanding Perancis yang berjaya melakukan 17 percubaan dengan lapan percubaan tepat.

Tidak dapat dinafikan Poland berjaya mengimbangi perlawanan dengan 45% penguasaan bola tetapi perbezaan kualiti menjadikan penguasaan bola yang dipegang mereka sia-sia dan tidak mendatangkan bahaya langsung kepada pihak lawan.

Ya, tidak dapat dinafikan dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku terutamanya di Piala Dunia dan ia telah terbukti apabila pasukan Argentina boleh tewas kepada Arab Saudi serta Brazil juga tewas kepada Cameroon, tetapi pada perlawanan tadi ternyata ia milik Perancis.