Misi tak mustahil buat Harry Kane dan England untuk halang Kylian Mbappe dan Perancis di suku akhir Piala Dunia 2022!

381

Pasukan England melangkah ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 Qatar dengan bergaya apabila menewaskan Senegal 3-1 dalam perlawanan Pusingan 16 sebentar tadi.

Dalam perlawanan tersebut, England dilihat menguasai perlawanan sepanjang tempoh 90 minit permainan.


Bagaimanapun skuad The Three Lions itu terpaksa menunggu hingga minit ke-38 untuk membuka akaun jaringan menerusi Jordan Henderson selepas menerima hantaran cantik daripada Jude Bellingham.

Kapten pasukan Harry Kane kemudian telah menggandakan jaringan buat pasukan pada penghujung babak pertama menerusi satu rembatan padu pada minit ke-45+3 untuk masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

Senegal cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi ternyata beberapa percubaan yang dilakukan gagal menerjah jaring.

Pada minit ke-57 Bukayo Saka terus menambah derita menerusi gol cantik sekaligus menjadi gol kemenangan berjaya buat pasukan kendalian Gareth Southgate.

Susulan kemenangan itu, England selepas ini akan bertemu dengan juara bertahan Perancis pada perlawanan suku akhir nanti.

Ia akan menjadi misi tidak mustahil buat Kane dan rakan sepasukan kerana mereka kini berada pada prestasi terbaik, termasuk Kane sendiri sudah berjaya menjaringkan satu gol dan melakukan tiga bantuan gol sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Menjelang perlawanan suku akhir, Kane mempunyai dua misi utama iaitu yang pertama adalah untuk memastikan pasukannya mampu mara ke perlawanan separuh akhir dan kedua mahu cuba menjaringkan gol sebanyak yang mungkin.

Ini kerana ketika ini bintang sensasi Perancis iaitu Kylian Mbappe sedang berada di puncak untuk merangkul trofi Kasut Emas berikutan sudah menjaringkan gol.

Sudah pasti Kane mampu mempertahankan gelaran sebagai penjaring terbanyak seperti yang dilakukannya pada Piala Dunia 2018 di Rusia yang mana beliau menerima trofi Kasut Emas selepas menjaringkan enam gol.

Empat tahun lalu, England gagal merealisasikan impian mereka untuk bertemu dengan Perancis di perlawanan akhir selepas mereka tewas 2-1 kepada pasukan Croatia dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke masa tambahan.

Untuk rekod, pasukan England belum pernah tewas kepada Perancis dalam kempen Piala Dunia sebelum ini yang mana mereka pernah menang 2-0 pada Piala Dunia 1966 yang mana ketika itu mereka berjaya menjulang Piala Dunia dan pada tahun1982.

Kali terakhir mereka bertemu adalah pada Jun 2013 yang mana ketika itu Perancis berjaya tewaskan England 3-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

Jika sebelum ini pasukan England bukanlah pasukan pilihan, namun untuk kempen Piala Dunia 2022 kali ini merupakan mereka antara pasukan berpotensi untuk pergi dengan lebih jauh pada kejohanan ini dek membariskan ramai pemain-pemain muda berkualiti.

Selain Kane, antara pemain yang mempamerkan aksi yang cukup mantap sepanjang kempen kali ini adalah Bukayo Saka (3 gol), Marcus Rashford (3 gol), Phil Foden (1gol dan 2 bantuan gol) dan juga Jude Bellingham (1 gol dan 2 bantuan gol).

Bagaimanapun pemain England yang paling mendapat perhatian kali ini adalah Bellingham yang mana beliau telah menjadi pilihan Southgate dalam ke empat-empat perlawanan sebagai kesebelasan utama.

Sepanjang empat perlawanan beliau sudah pun bermain selama 328 minit dan dijangka akan terus menjadi tonggak utama pasukan itu pada perlawanan suku akhir nanti.

Bertemu dengan Perancis pada perlawanan suku akhir nanti, England akan berusaha untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit bagi memastikan perlawanan tidak diheret ke penentuan penalti.

Ini kerana mereka mempunyai rekod yang cemerlang apabila diheret ke penentuan penalti di mana mereka hanya berjaya menang tiga daripada 10 penentuan penalti dalam kejohanan besar sebelum ini.

Ia termasuk empat di Piala Dunia berbeza, lima di EURO dan satu di Nations League.

Kali pertama mereka tewas dalam penentuan penalti adalah pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 1990 di mana tewas kepada Jerman Barat.

Enam tahun kemudian, mereka berjaya menang penentuan penalti ketika mengalahkan Sepanyol di EURO, tetapi pada perlawanan separuh akhir mereka tewas kepada Jerman menerusi sepakan penalti.

Sejak dari itu, mereka telah tewas lima kali berturut-turut dalam penentuan sepakan penalti kepada Argentina pada 1998, Portugal pada 2004 dan 2006 dan Itali.

Nasib malang mereka menerusi penentuan sepakan penalti di Piala Dunia akhirnya tamat pada perlawanan Pusingan 16 Piala Dunia 2018 apabila mereka berjaya tumpaskan Colombia 4-3 dalam penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kemenangan penentuan sepakan penalti ketiga mereka hadir pada kejohanan Nations League 2019 yang mana mereka menewaskan Switzerland menerusi sepakan penalti untuk tempat ketiga play-off.

Ketika England merasakan nasib penentuan sepakan penalti mula menyebelahi mereka, mereka dikejutkan sekali lagi apabila sekali lagi tewas dalam penentuan penalti pada perlawanan akhir EURO menentang Itali.

Jadi, mampukah England menghalang kemaraan pasukan Perancis dan mengelak perlawanan perlawanan diheret ke penentuan penalti? Sama-sama kita tunggu.