Daripada terus tuding jari, lebih baik pengurusan Melaka United, MUSA bersemuka selesaikan isu tunggakan gaji

373

Setelah senyap seketika, isu tunggakan gaji yang melanda Melaka United FC sekali lagi hangat diperkatakan setelah beberapa pemain menyuarakan nasib mereka di sosial media.

Minggu lalu, beberapa pemain kelab itu memuatnaik Instastory beramai-ramai menyatakan bahawa pihak pengurusan tidak mengendahkan mesej mereka apabila ditanya mengenai tunggakan gaji yang kini mencecah lima bulan.


Baru-baru ini pula, terdapat pemain yang meminta bantuan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk masuk campur menyelesaikan masalah mereka.

Setelah isu tersebut menjadi buah mulut beberapa hari ini, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Melaka United, Datuk Wira Justin Lim akhirnya membuka mulut untuk memberi keterangan dari pihaknya.

Menurut Justin, pihaknya iaitu Kenteam Medical Sdn Bhd telah melaksanakan tanggungjawab mereka dari segi kewangan kelab itu sepenuhnya, dan mendakwa masalah yang berlaku ketika ini adalah di pihak Melaka United Soccer Association (MUSA) yang memegang 30 peratus saham dalam Melaka United.

Beliau juga mendedahkan bahawa pihaknya sudah mengejar pihak MUSA untuk memastikan mereka bertanggungjawab namun tidak diendahkan.

Sebelum ini, MUSA atau kini yang dijenamakan semula kepada MAFA pernah menafikan bahawa pihaknya turut terlibat dalam masalah yang melanda kelab itu dan menyerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Seri Justin Lim.

Menurutnya, masalah yang berlaku adalah kerana kegagalan pengurusan untuk menguruskan perbelanjaan apabila berbelanja lebih RM20 juta dan pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa mengenai tunggakan yang berlaku.

Dengan kedua-dua pihak ketika ini lebih senang menuding jari kepada pihak yang lain, pemain Melaka United masih lagi tersepit dibebani tunggakan gaji dengan pelbagai komiten yang perlu dijelaskan.

Pertelingkahan kedua-dua pihak pengurusan ibarat ‘Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’, dan hanya memburukkan lagi keadaan.

Tindakan kedua-dua pihak hanya lebih kepada mahu mencari pihak yang salah, sebaliknya bukan untuk membantu para pemain yang ketika ini sedang sengsara.

Sekiranya betul-betul mahu membantu pemain, kedua-duanya haruslah masing-masing bersua muka dan berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) juga haruslah bertegas dalam hal ini dan aktif menjadi orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian.

MAFA sebelum ini juga dilaporkan telah membuat persiapan untuk membentuk sebuah pasukan mewakili negeri Melaka bagi menyertai Liga M3 musim depan.

Di saat pemain Melaka United masih menagih gaji mereka, tidak sepatutnya pihak MAFA hanya lepas tangan dan sewenang-wenangnya menubuhkan pasukan baru.

Mungkin perkara ini juga perlu dipertimbangkan oleh pihak Amateur Football League (AFL) sebelum membenarkan pasukan berkenaan daripada bertanding dalan Liga M3 musim depan, supaya isu sama tidak berulang kembali.