Lee Zii Jia kembali berlatih dengan BAM, ‘win-win situation’ buat dirinya dan pelatih BAM

1,049

Setelah melakukan kejutan berpisah dengan dengan jurulatih, Indra Wijaya minggu lalu, Lee Zii Jia nampaknya terus memandang ke hadapan dengan menjadi pemain profesional pertama yang menyertai latihan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann yang mengatakan bahawa pemain itu meminta kebenaran untuk datang berlatih pada hari Sabtu walaupun BAM menetapkan hari Rabu (perseorangan) dan Jumaat (beregu) untuk program latihan bersama itu.


Sesi latihan tersebut dihadiri oleh pemain perseorangan BAM antaranya Leong Jun Hao, Justin Hoh, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan beberapa pemain lain.

Keputusan Zii Jia untuk berlatih bersama-sama BAM ini dilihat bukan sahaja dapat memberi manfaat buat dirinya dalam usaha untuk mengembalikan prestasinya, tetapi juga buat ‘junior’ di BAM.

Dari segi fasiliti, tidak dapat dinafikan bahawa Akademi Badminton Malaysia (ABM) adalah yang terbaik di negara ini, justeru Zii Jia mampu meningkatkan tahap permainannya dengan lebih baik.

Manakala bagi pemain-pemain BAM, mereka dapat menjadikan pemain berpengalaman dan bertaraf dunia seperti Zii Jia sebagai rakan sepelatih (sparring partner) yang mampu meningkatkan lagi skil dan gaya permainan mereka.

Terutama sekali bagi pemain perseorangan lelaki utama BAM, Ng Tze Yong yang tidak memiliki rakan sepelatih yang lebih baik dalam persatuan itu.

Ketika ini Zii Jia menduduki tangga kedua ranking BWF, jauh meninggalkan Tze Yong di tangga ke-27, jadi pengalaman yang dimiliki Zii Jia pasti mampu menjadikan Tze Yong pemain yang lebih baik.

Selain Zii Jia, pemain senior, Liew Daren juga dilaporkan berminat untuk turut sama berlatih di ABM.

Dengan penglibatan lebih ramai pemain profesional, terutama mereka yang berpengalaman dan hebat, sudah tentu pemain-pemain muda di BAM akan lebih matang dengan cepat dan dapat menyerap ilmu daripada pemain profesional yang lebih berpengalaman.

Bagi Zii Jia pula, berlatih di ABM adalah baik untuk persediaan beliau untuk terus mengekalkan kedudukan di tangga kedua serta bersedia untuk kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang bakal bermula pada bulan Mei tahun hadapan.

Selepas kecewa tidak layak ke Kejohanan Akhir Dunia BWF tahun ini, beliau harus segera memperbaiki kelemahan supaya dapat kembali ke prestasi sebenar beliau tahun depan.