Erick Thohir pertimbang terajui PSSI, tekad ubah bola sepak Indonesia, anjur Piala Dunia 2040

391

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mungkin akan diterajui oleh pemimpin baru awal musim depan kerana bakal mengadakan pemilihan presiden, naib presiden dan ahli majlis eksekutif.

Selepas tragedi Stadium Kanjuruhan Oktober lalu, kedudukan presiden atau ketua umum ketika ini, Mochammad Iriawan atau Iwan Bule berada dalam tekanan berikutan terdapat sebilangan pihak yang menyuruhnya berundur.


Baru-baru ini, Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Erick Thohir ada meluahkan hasratnya untuk mengambil tanggungjawab itu dan bersedia untuk dicalonkan pada pemilihan nanti.

Beliau berkata agenda utamanya adalah untuk melakukan transformasi bola sepak Indonesia bagi meningkatkan prestasi bola sepak negara itu.

Antara perkara yang berada dalam perancangannya adalah berkenaan pengenalan VAR serta hak penyiaran media, selain pertandingan liga yang lebih memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menyerlah.

Selain itu, beliau juga bertekad untuk memastikan Indonesia turut serta dalam tawaran untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2040.

Dalam bidang sukan, Erick amat dikenali dengan penglibatannya yang meluas, bukan hanya dalam bola sepak.

Dalam bidang bola sepak, beliau sememangnya salah seorang individu yang berpengaruh dan popular di Indonesia kerana pernah menjadi pemilik majoriti kelab terkemuka Serie A, Inter Milan melalui syarikatnya iaitu International Sports Capital HK Limited dan menjadi pengerusi ahli lembaga pengarah kelab itu.

Bukan itu saja empayarnya di luar negara, beliau pernah menjadi pemilik kelab Amerika Syarikat, D.C. United sehingga 2018 dan ketika ini merupakan pemilik bersama kelab League One, Oxford United FC.

Di peringkat tempatan pula, beliau adalah pemilik kelab Persis Solo, dan Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan presiden FIFA, Gianni Infantino.

Sekiranya beliau memenangi pemilihan tersebut, sudah semestinya PSSI akan menjalani satu transformasi yang besar.

Dan satu cabaran untuknya menyambung legasi yang ditinggalkan Iwan Bule yang berjaya membawa Indonesia sehingga ke tahap ini.