Saya nak cari pasukan yang perlukan saya, tak mahu duduk di bangku simpanan lagi – Safawi Rasid

4,443

Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid bertekad mahu memanfaatkan tempoh pinjamannya ke kelab Thailand, Ratchaburi FC untuk mendapatkan sebanyak mungkin minit permainan.

Menurutnya, beliau sudah tidak mahu sentiasa berada di bangku simpanan selepas ini dan mahu menyertai pasukan yang betul-betul mahukan khidmatnya sekembalinya dari pinjaman.


“Sekarang ini umur saya sudah cecah 25 tahun jadi saya perlu minit permainan untuk diri saya, selepas habis tempoh pinjaman dengan Ratchaburi ini saya nak cari pasukan yang betul betul perlukan saya, saya tak nak duduk di bangku simpanan.

Saya sangat hargai mereka mahu gunakan khidmat saya tetapi apa-apa pun saya mahu fokus bantu skuad kebangsaan untuk Piala AFF terlebih dahulu,”

katanya.

Semalam, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan bahawa kelab itu akan meminjamkan Safawi serta Moussa Sidibe ke Ratchaburi untuk musim depan.

Dalam pada itu, Safawi teruja untuk bermain di liga tersebut kerana berpendapat bahawa gaya permainan di situ lebih laju dan menerapkan ‘possession football’.

“Ada kelainan antara kedua-dua liga, di sana lebih kepada ‘possession football’ dan permainan lebih laju, tapi kelainan itu tak banyak.

Saya bukan nak bandingkan liga mana lebih baik tetapi ramai yang katakan termasuk pemain Malaysia yang pernah berada di sana mengenai kelainan liga tersebut.”

Sementara itu, beliau mahu menjadikan kejohanan Piala AFF ini sebagai satu medan buatnya mendapatkan keyakinannya kembali selepas kurang diturunkan pada musim ini.

Beliau mengakui bangga kerana masih mendapat panggilan ke skuad kebangsaan walaupun jarang diturunkan bersama kelab dan bertekad untuk membuktikan sesuatu jika diturunkan.

Tambah Safawi, sasaran skuad kebangsaan ketika ini adalah untuk mengutip sebanyak mana mata yang boleh untuk menaikkan ranking negara ke tangga 125.