Dana RM2 Juta lesap dari akaun Kesatuan Ragbi Malaysia, kebajikan pemain dan jurulatih terus terabai

1,292

Satu laporan polis telah dibuat baru-baru ini oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) berhubung satu kes pecah amanah berkenaan kehilangan dana bernilai RM2 Juta.

Dipercayai perkara itu dilakukan oleh seorang kakitangan kesatuan tersebut yang gagal dihubungi sehingga ke hari ini.


Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan reputasi organisasi tersebut yang bertanggungjawab mengurus tadbir perkembangan sukan ragbi di Malaysia selama ini.

KRM kini sedang giat melakukan segala yang termampu bagi mendapatkan semula wang tersebut yang dikhabarkan telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

“Jatuh ditimpa tangga” merupakan gambaran terbaik untuk menerangkan keadaan semasa ragbi di Malaysia pada ketika ini tatkala ia dilihat kurang mendapat perhatian sewajarnya daripada semua pihak terutama sekali di kalangan peminat sukan tanah air.

Sebelum ini, isu kebajikan pemain jadi antara topik utama yang sering dibincangkan di kalangan atlet serta jurulatih yang terkesan daripadanya.

Ada beberapa pihak atasan tidak memainkan peranan sewajarnya meskipun telah diberikan tanggungjawab dalam menguruskan pasukan kebangsaan sama ada untuk 7s mahupun 15s lelaki dan wanita.

Walhal pasukan negara sebenarnya memiliki kualiti yang cukup baik dengan meraih beberapa kejayaan di temasya besar seperti Sukan SEA dan sebagainya.

Menurut daripada perkongsian yang sebelum ini tular, fasiliti atau keperluan yang disediakan tidak mencukupi untuk menampung kesemua pemain yang dipanggil mewakili negara.

Sehingga ada daripada mereka yang terpaksa mengambil inisiatif sendiri menumpang dan sebagainya bagi mendapatkan tempat tinggal semasa latihan berlangsung.

Berkemungkinan besar perkara-perkara ini turut melibatkan masalah penyelewengan dana yang telah berlaku di dalam badan induk tersebut sekian lama.

Masalah dana ini turut memberi impak kepada perkara-perkara lain yang dilihat mempengaruhi kadar penerimaan sukan ini di Malaysia.

Malah, impian untuk melihat kewujudan Stadium Ragbi Negara masih lagi kekal sebagai angan-angan meskipun sudah berlarutan sehingga bertahun lamanya.

Perancangan atau desas-desus pembinaan stadium ini bermula daripada tahun 2009 di mana pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dikatakan bercadang untuk membina sebuah stadium ragbi di Sabah.

Namun, tiada perkhabaran berita tentang perkembangan pelan tersebut sekian lama sebelum Khairy Jamaluddin yang memegang jawatan sebagai Menteri KBS pada tahun 2016 mengumumkan tapak baru untuk pembinaan stadium tersebut di kawasan Lembah Klang.

Tetapi sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang penampakan kewujudan stadium ragbi yang gah sepertimana dicanang-canang sebelum ini.

Pada tahun 2019, KRM dan KBS sekali lagi mengumumkan perubahan lokasi pembinaan stadium ke Putrajaya yang difahamkan bakal memakan peruntukan lebih kurang RM17 juta sewaktu Syed Saddiq mengambil alih portfolio Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu.

Perkembangan terakhir projek tersebut adalah pada awal tahun ini di mana pihak KRM mengakui terdapat sedikit masalah yang mengekang projek tersebut disiapkan secepat mungkin.

Kemudian, sehingga ke hari ini pihak bertanggungjawab terus berdiam diri tanpa sebarang perkembangan yang dikongsikan untuk menerangkan status semasa projek berkenaan.

Sampai bila perkara ini akan terus berlaku sehingga menyebabkan perkembangan sukan ini semakin terjejas dan sering berhadapan dengan masalah penyelewangan dana yang terus mencalarkan imej sukan negara.  

Tidak adil untuk para pemain dan jurulatih yang telah sekian lama berusaha keras menabur bakti dan keringat demi mengharumkan nama negara di persada dunia.

Harapnya dengan perubahan Menteri dan kerajaan yang baru, nasib sukan ini akan lebih terbela serta diberi perhatian yang sewajarnya.