Media Vietnam jangka Malaysia mampu lakukan kejutan pada Piala AFF, sentuhan Kim Pan-gon jadi penentu

1,031

Menjelang kejohanan Piala AFF hujung bulan ini, kem Malaysia dilihat menghadapi beberapa isu bermula daripada 12 pemain yang menolak untuk menyertai pasukan kali ini.

Situasi lebih buruk buat ketua jurulatih, Kim Pan-gon apabila dua lagi pemain tidak hadir pada hari pertama kem latihan menyebabkan jumlah pemain yang boleh dipilih semakin sedikit.


Berbanding dengan gergasi Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang dilihat mempunyai skuad yang kuat, Malaysia boleh dianggap sebagai ‘underdog’ pada kejohanan tersebut.

Namun, menurut media Vietnam, The Thao 247, Harimau Malaya mampu mencipta kejutan walaupun tidak menampilkan pemain-pemain utama kali ini.

Mereka memuji gaya permainan pragmatik yang diterapkan oleh Pan-gon dan menunjukkan gaya permainan yang lebih ‘degil’ berbanding sebelum ini, seperti ketika kejohanan King’s Cup September lalu.

Di bawah Pan-gon juga, Malaysia juga dikatakan sebuah pasukan yang baik dalam serangan balas dan lebih bijak daripada sebelum ini.

Walaupun ramai peminat yang begitu skeptikal dengan skuad yang ditampilkan kali ini, sentuhan Pan-gon sebenarnya mampu memainkan peranan penting buat skuad negara.

Sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada Februari lalu, harus diakui beliau sudah berjaya mengubah gaya permainan pasukan kebangsaan.

Malah perkara itu turut diakui oleh para pemain, termasuklah muka-muka baru pada kali ini yang turut bersetuju bahawa latihan yang dikendalikan Pan-gon mencabar.

Walaupun boleh dikatakan ramai penyokong Malaysia tidak meletakkan harapan tinggi dengan skuad kali ini, ‘magis’ yang dimiliki oleh Pan-gon mampu menjadi penentu kedudukan skuad negara.

Beliau telah menunjukkan pada kelayakan Piala Asia lalu apabila memastikan Malaysia layak ke kejohanan itu walaupun terdapat dua pasukan yang berada di ranking lebih tinggi iaitu Bahrain dan Turkmenistan dalam kumpulan sama.

Memang jika dibandingkan dengan pemain-pemain utama yang tidak dapat menyertai kali ini, skuad kali ini nampak sedikit tidak meyakinkan.

Namun, di dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku dan tidak mustahil seperti apa yang disuarakan oleh negara seteru itu, anak buah Pan-gon mampu melakar kejutan pada edisi kali ini.