Mentaliti pandang ke Eropah pemain Jepun harus jadi ikutan pemain Malaysia

404

Walaupun tewas pada pusingan 16 terakhir kepada Croatia, persembahan yang ditunjukkan wakil Asia, Jepun pada kempen Piala Dunia kali ini mendapat pujian ramai pihak.

Terutamanya kejayaan menundukkan Sepanyol dan Jerman dalam peringkat kumpulan, seterusnya melangkah ke pusingan kalah mati.


Sedar pasukannya mendapat pujian, penyerang pasukan itu, Ritsu Doan bagaimanapun tidak berpuas hati kerana baginya ia tidak bermakna apa-apa dan mereka tetap tidak berjaya mencatat sejarah melangkah ke suku akhir.

Beliau merupakan salah seorang penjaring gol Jepun pada peringkat kumpulan dan pada pengamatan beliau, Jepun memerlukan ramai lagi pemain yang beraksi bersama pasukan Eropah untuk memperkuatkan lagi pasukan.

Pada kempen Piala Dunia kali ini, Jepun mempunyai seramai 19 pemain yang bermain di Eropah, paling banyak antara wakil Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) lain.

Menurut Doan, mereka memerlukan 20 atau 30 pemain yang beraksi dengan kelab Eropah selepas ini untuk mencatat sejarah layak ke suku akhir buat pertama kali.

Apa yang dikatakan oleh Doan ini harus dijadikan pengajaran oleh pemain-pemain tempatan bagi menaikkan mutu bola sepak negara.

Walaupun dianggap sebagai gergasi Asia, pemain SC Fereiburg itu sendiri mengakui bahawa tahap Eropah lebih baik dan mereka perlu belajar daripada benua itu untuk lebih maju.

Ketika ini, tidak ramai pemain-pemain tempatan yang berani untuk menyahut cabaran beraksi di luar negara yang mempunyai tahap bola sepak yang lebih baik.

Dari sudut kualiti Liga Malaysia masih jauh ketinggalan dengan liga Eropah dan liga-liga lain di negara besar Asia.

Sekiranya pemain lebih selesa kekal di zon selesa dalam negara, sukar untuk melihat skuad kebangsaan mampu bersaing dengan pasukan besar Asia seperti Jepun yang sudah melihat Eropah sebagai sasaran.

Jika dilihat pada prestasi pasukan Asia pada Piala Dunia kali ini, pasukan yang kesemua pemain bermain di liga tempatan (Arab Saudi dan Qatar) semua tidak berjaya melangkah ke pusingan kalah mati.

Justeru benarlah apa yang dikatakan oleh Doan bahawa pemain perlu mengembangkan tahap permainannya di tempat yang mempunyai tahap bola sepak yang lebih baik.

Di Malaysia pula, pemain pertahanan, Dion Cools boleh dijadikan contoh apabila bermain di kelab Republik Czech, FK Jablonec ketika ini.

Dan ia dibuktikan dengan persembahannya di atas padang yang seringkali menjadi antara pemain terbaik buat Malaysia.