P. Maniam selangkah sertai Harini FT, kesungguhan pengurusan mungkin jadi faktor tarikan utama

2,677

Bekas ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam dikhabarkan bakal membimbing pasukan Liga M3, Harini FT pada musim depan.

Menurut sumber kepada Harimau Malaya, perkara ini hampir pasti berlaku dalam masa terdekat dan hanya menantikan proses dokumentasi diselesaikan sebelum pihak pengurusan membuat pengumuman rasmi.


Kemungkinan, antara faktor yang berjaya menarik minat P. Maniam adalah kesungguhan ditunjukkan oleh pihak pengurusan dalam membina sebuah pasukan yang mampu memberi saingan bukan sahaja di Liga M3 malah di peringkat yang jauh lebih tinggi.

Komitmen ditunjukkan inilah yang telah berjaya menarik beberapa nama besar sebelum ini untuk bermain dengan pasukan seperti bekas pemain Pahang, Azidan Sarudin serta bekas pertahanan kental negara, K Reuben.

Kesungguhan ini juga berjaya membantu pasukan Harini FT untuk menjadi antara pesaing terkuat dalam saingan Liga M3 musim ini.

Mereka cemerlang di pusingan awal selepas berjaya menamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas dengan pungutan 35 mata hasil daripada 10 kemenangan dan lima keputusan seri dari 18 perlawanan keseluruhan.

Harini FT juga cemerlang mencapai kemenangan 2-1 di perlawanan pertama suku akhir menentang Imigresen FC sebelum tewas mengejut 2-0 pada aksi timbal balik yang menyebabkan perjalanan mereka terhenti lebih awal.

Dengan kehadiran P. Maniam, tidak mustahil pasukan ini dapat melakukan ‘comeback’ dan mempamerkan aksi yang lebih cemerlang untuk melangkah lebih jauh pada musim depan sekaligus merealisaikan impian bagi merangkul kejuaraan.

Kepakaran P. Maniam dalam memanfaatkan pemain tempatan dapat memberi kelebihan kepada pasukan ini memandangkan format Liga M3 setakat ini masih belum membenarkan kemasukan pemain import kepada mana-mana pasukan bertanding.

Pada aksi Liga Super 2022, P. Maniam berjaya membimbing skuad PJ City untuk mengakhiri saingan di kedudukan di kesembilan meskipun beraksi sepenuhnya menggunakan pemain tempatan.

Satu pencapaian yang cukup baik untuk berada di atas pasukan seperti Melaka United, Sarawak United serta Penang FC yang dilihat memiliki lambakan pemain import berkualiti.

Buat masa ini, Harini FT juga dikatakan sedang melakukan rundingan untuk turut membawa masuk beberapa orang bekas pemain PJ City yang sebelum ini pernah beraksi di bawah bimbingan P. Maniam.

Pada masa yang sama, P. Maniam akan bergandingan dengan legenda bola sepak negara, Khalid Jamlus yang memegang jawatan sebagai pengurus pasukan pada ketika ini.

Pengalaman dua individu ini dilihat akan memberi kelebihan yang cukup besar buat pasukan Harini FT untuk terus mempamerkan kualiti yang baik dalam menjadi salah sebuah pesaing terkuat di saingan Liga M3 musim depan.

Selain PJ City, jurulatih berusia 54 tahun tersebut sebelum ini pernah mengendalikan pasukan ternama seperti Selangor selama beberapa musim bermula dari tahun 2016 sehingga Mac 2018.

Selain skuad utama Harini FT, mereka juga memiliki sebuah lagi pasukan yang dikenali sebagai Harini FT II.

Pasukan ini baru sahaja memenangi saingan Liga M5 Nogori yang baru sahaja melabuhkan tirai dan membolehkan mereka melayakkan diri ke Liga M4 pada musim hadapan.