LTK terus pancing pemain muda, penyokong Perak FC tidak boleh terburu-buru tagih kejayaan

592

Menumpukan kemasukan pemain bintang, berbeza dengan Perak FC di bawah kendalian Lim Teong Kim yang dilihat rancak membawa masuk pemain-pemain muda untuk membarisi pasukan musim hadapan.

Terbaru mereka baru sahaja sah membawa masuk pemain skuad B-23 negara, Fahmi Daniel dari pasukan Selangor FC II.


Fahmi yang baru sahaja berusia 20 tahun mempunyai kebolehan untuk beraksi di bahagian kiri samada sebagai pemain sayap mahupun pertahanan.

Bekas pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) tersebut turut berjaya membantu skuad Selangor untuk meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang telah berlangsung pada September lalu.

Ini dilihat terus menjadi salah sebuah tindakan yang turut termasuk dalam perancangan jangka masa panjang yang sedang dilakukan oleh Teong Kim bagi membawa pasukan Perak kembali ke tahap sebelum ini.

Terdahulu, Teong Kim juga telah membawa masuk beberapa pemain baru termasuk penyerang muda berasal dari Sabah, Harith Naem.

Harith yang juga berumur 20 tahun sebelum ini beraksi bersama pasukan Melaka United dan pernah diturunkan sebanyak lapan kali sepanjang saingan Liga Super 2022.

Beliau juga telah terpilih untuk bersama skuad Harimau Muda yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih, Brad Maloney pada saingan Piala AFF B-23 yang telah berlangsung pada awal tahun ini.

Selain Harith, Teong Kim juga telah mendapatkan tiga orang pemain dari skuad Projek FAM-MSN iaitu Amirul Akmal, Farris Izdiham dan Felix Adriano.

Meskipun Projek FAM-MSN sekadar menduduki tangga terakhir di saingan Liga Perdana yang lalu, ketiga-tiga pemain ini berjaya mempamerkan aksi yang menarik minat Teong Kim untuk membawa mereka ke Perak.

Amirul dan Farris telah menyumbang dua gol untuk membantu skuad Projek FAM-MSN untuk melakukan kejutan pada aksi menentang Perak musim lalu yang berakhir dengan kemenangan mengejutkan 3-1 berpihak kepada skuad muda tersebut.

Amirul sebelum ini pernah menyertai kem latihan bersama pasukan B-19 negara pada tahun 2020 bagi saingan AFC B-19.

Selain daripada pemain-pemain 19 dan 20 tahun ini, Teong Kim turut membawa masuk pemain di pertengahan 20an seperti Raja Imran Shah yang memiliki pengalaman selaku pemain utama kelab Liga Super sebelum ini.

Imran telah beraksi bersama pasukan Sarawak United pada musim 2022 dan berjaya beraksi sebanyak 14 kali di dalam saingan Liga Super selaku pertahanan tengah.

Ketinggiannya mampu memberikan kelebihan dalam memperkukuhkan lagi barisan pertahanan skuad Seladang musim depan.

Walaubagaimanapun, peminat perlu memberikan masa kepada proses pembangunan skuad ini dan tidak menekan untuk hasil segera.

Melihat kepada pendekatan yang ingin di bawa oleh jurulatih berusia 51 tahun ini, Perak perlu sekurang-kurangnya dua ke tiga tahun untuk menghasilkan sebuah skuad yang mantap dan berkualiti.

Teong Kim cukup terkenal dengan kepakarannya dalam menguruskan pembangunan pemain sepertimana yang dilakukannya sewaktu memikul tanggungjawab sebagai Pengarah AMD sebelum ini.

Namun, tugas berat akan menanti beliau tatkala pasukan yang dikendalikannya kali ini adalah skuad utama dan bukannya pasukan projek.

Tambahan pula, mereka bakal bersaing di Liga Super yang mana bakal mengumpulkan pasukan-pasukan handalan dengan kehadiran ramai pemain import serta tempatan ternama dan berpengalaman.

Sekiranya mereka berjaya bersaing musim depan, ia adalah satu bonus besar buat pasukan dan peminat yang setia menyokong jatuh bangun kelab ini sekian lama.