Bekas ‘teammate’ Luqman Hakim, Ahmad Azraf bakal berhijrah ke Kedah musim depan

925

Pemain tengah muda Kelana United, Ahmad Azraf difahamkan bakal berhijrah ke pasukan Kedah Darul Aman FC musim depan.

Azraf cemerlang membantu pasukan Kelana United untuk mencipta sejarah layak ke peringkat separuh akhir saingan Selangor Champions League (SCL) musim ini.


Sepanjang bersama kelab tersebut, pemain muda ini berjaya mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan terutama sekali bagi mengemudi bahagian tengah pasukan.

Beliau dilihat memiliki kemahiran dan keupayaan permainan yang cukup baik dan berkualiti yang sedikit berbeza dari kebanyakan rakan sebayanya.

Terdahulu, Azraf pernah beraksi untuk pasukan B-19 negara pada tahun 2019 bersama dengan pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin.

Pada tahun 2018, beliau juga pernah membantu pasukan Selangor PKNS untuk menjuarai saingan Piala Belia bersama rakan sepasukan seperti Shivan Pillay dan Raja Imran Shah.

Untuk musim pertamanya, beliau difahamkan akan diletakkan di dalam skuad B-23 Kedah Darul Aman yang akan beraksi di saingan Liga Simpanan B-23 tahun depan.

Walaupun akan bermain bersama skuad B-23 Hijau Kuning, tidak mustahil dengan potensi yang dimilikinya akan mampu menarik minat ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk memberi peluang kepadanya beraksi bersama skuad utama.

Seperti yang sedia maklum, Nafuzi merupakan seorang jurulatih yang bijak memanfaatkan kemampuan pemain muda sepertimana yang dilakukan olehnya ketika membimbing pasukan Terengganu FC.

Namun, bermain di Liga Simpanan bukanlah satu tugas yang mudah untuk Azfar dan memandangkan kualiti lawan yang perlu dihadapi seperti pasukan muda Johor Darul Ta’zim FC yang terbukti dengan kejayaan menjuarai Piala Presiden tahun ini.

Selain Azfar, ada beberapa pemain muda Liga Super Kedah musim ini bakal diserap masuk ke skuad B-23 pada musim depan.

Antaranya adalah Hafiz Izzudin, Aiman Farhan, Fareez Amirul dan Muhammad Hafizy yang sebelum ini merupakan produk Piala Presiden KDA FC.

Nampaknya Kedah semakin rancak lakukan perubahan demi perubahan semenjak diambil alih oleh pengurusan yang baru.

Mereka juga dikhabarkan telah ‘memborong’ sebilangan besar graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Berkemungkinan besar pemain-pemain ini dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan B-23 Kedah dalam saingan Liga Simpanan musim depan.

Harapnya ada sinar baru untuk Kedah yang sebelum ini dikenali sebagai kilang ‘ubi muda’ negara!