Pemain TRW Kelantan FC seperti meluahkan kekecewaan, apa yang berlaku sebenarnya?

15,169

TRW Kelantan FC melalui sebuah musim yang cukup cemerlang tahun ini semenjak diambil alih oleh pemilik baru, Norizam Tukiman atau lebih mesra disapa dengan panggilan Zamsaham.

Pasukan pantai timur tersebut berjaya bangkit dari kejatuhan lampau untuk kembali menempa nama di kancah Liga Malaysia dengan menduduki tangga kedua Liga Perdana musim 2022 sekaligus melayakkan diri secara merit ke saingan Liga Super tahun hadapan.


Namun, beberapa hari kebelakangan ini, hadir situasi mencurigakan yang menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat Kelantan tatkala ada beberapa pemain yang memuat naik ‘story’ seakan-akan meluahkan kekecewaan di akaun Instagram mereka.

Pemain tersebut antaranya adalah dua pemain tengah, Jasmir Mehat dan Syed Sobri serta seorang penyerang muda, Alifh Aiman.

Melihat kepada hantaran yang dilakukan ini, mereka tampak seperti menghadapi sebuah isu ‘besar’ namun tiada sebarang kenyataan yang telah dibuat setakat ini.

Selain daripada tiga individu ini, pemain import, Kevin Belfort juga ada memuat naik hantaran ‘mencurigakan’ merujuk kepada sesuatu isu yang menghalangnya untuk balik meskipun saingan liga sudah lama tamat.

Besar harapan peminat untuk pasukan ini tidak menghadapi masalah berulang seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.

Kelantan telah melalui zaman gelap sebanyak dua kali sepanjang penubuhan dan penyertaan mereka di kancah bola sepak Malaysia.

Pertama adalah pada tahun 2004, di mana prestasi pasukan merosot dengan teruk sehingga berada di kedudukan terakhir Liga Perdana musim tersebut dan terpaksa beraksi di Liga FAM pada tahun 2005

Mujur, mereka tidak menanti lama untuk melakukan ‘comeback’ selepas berjaya menjadi juara Liga FAM pada tahun untuk tersebut untuk kembali ke saingan Liga Perdana pada musim 2005/2006.

Selepas cemerlang merangkul beberapa kejuaraan pada sekitar tahun 2010 sehingga 2013, zaman kejatuhan Kelantan berulang pada tahun 2016 selepas mereka difahamkan menghadapi masalah kewangan yang menyebabkan gaji pemain serta staf kejurulatihan tertunggak.

Masalah tersebut menyebabkan prestasi pasukan semakin merosot sehingga pada tahun 2018 mereka mengakhiri kempen Liga Super di tangga ke-11 sekaligus menyebabkan mereka tersingkir ke Liga Perdana.

Mereka kekal beraksi di dalam saingan Liga Perdana sehinggalah kejayaan musim ini memberikan sinar baru buat pasukan pantai timur tersebut.

Jika benar ada masalah semasa yang berlaku di dalam pasukan Kelantan, ia dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak pengurusan bagi mengelak insiden sama berulang kembali.

Kini, pasukan tersebut difahamkan sedang rancak melakukan persiapan bagi menghadapi saingan musim depan terutama sekali dalam mencari jurulatih yang sesuai untuk mengambil tanggungjawab yang sebelum ini dipegang oleh bekas ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya.

Difahamkan, Zamsaham sedang meneliti beberapa orang calon termasuk jurulatih yang berasal dari Korea Selatan.

Mereka juga dikatakan bakal membawa masuk beberapa muka baru bagi memperkuatkan bahagian pertahanan selepas mereka baru sahaja melepaskan pemain-pemain import seperti Felipe Hereda dan Nixon Guylherme.

Harapnya perubahan ini dapat bawa pasukan The Red Warriors untuk kembali menggegarkan saingan Liga Super bermula musim depan.

Gomo Kelate Gomo!