Kalah atau menang bukan fokus utama KPG, asalkan pemain tunjukkan kesungguhan untuk berjuang demi negara

267

Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon tidak akan terkesan sekiranya beliau dan pasukan menerima kritikan pada aksi persahabatan menentang Kembojak kelak.

Dengan skuad yang agak baru, beliau percaya bahawa apa yang penting ketika ini adalah setiap pemain dapat menunjukkan kesungguhan beraksi di atas padang berbanding untuk mencapai kemenangan besar.


“Kalah atau menang, kita tidak perlu kisah selagi mana pemain tunjukkan kesungguhan.

Saya tidak akan kisah dikritik jika pemain benar-benar tidak menunjukkan kesungguhan dan kalah, saya akan bertanggungjawab atas perkara tersebut,”

katanya kepada media.

Pada masa yang sama, beliau tidak ingin memberi tekanan kepada pemain pada perlawanan persahabatan esok hari menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau ketika ini lebih cenderung menggunakan peluang pertama ini bagi melihat prestasi pemain-pemain yang baru dibawa masuk dalam memahami taktikal dan corak permainan yang ingin diterapkan olehnya terutama sekali bagi menghadapi saingan Piala AFF kelak.

“Ini adalah persediaan untuk ke Piala AFF, kami ingin lakukan eksperimen dan penilaian bagi menentukan pemain mana yang sesuai dengan taktikal kita.

Saya ingin melihat persembahan yang baik serta mampu mengekalkan identiti permainan Malaysia dalam mengawal 90 minit permainan.”

Pengendali berusia 53 tahun tersebut gembira dengan keadaan semasa di kem latihan negara yang berjaya menunjukkan petanda positif ketika ini.

Mereka berjaya mengumpulkan hampir kesemua pemain bermula pada Isnin lalu selepas tamat tempoh pelepasan yang diberikan kepada pemain dari kelab Johor Darul Ta’zim FC dan Selangor FC yang baru sahaja tamat saingan Piala Malaysia.

“Setakat ini ada perkembangan yang baik daripada pemain, kami berkongsi banyak maklumat tentang model dan perancangan permainan.

Setakat ini saya berpuas hati, hari demi hari kita bertambah baik dan saya gembira melihat perkara tersebut.”

Dalam pada itu, Pan-gon berkemungkinan tidak dapat menurunkan beberapa orang pemain pada aksi persahabatan esok hari (9 Disember) ekoran daripada kecederaan yang dialami oleh mereka.

Beliau sedang memastikan pemain-pemain berkenaan dapat dipulihkan dengan segera menjelang aksi seterusnya menentang Maldives pada 14 Disember ini.

“Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan daripada latihan dan tidak bersedia untuk perlawanan esok.

Namun, kebanyakan pemain lain dalam keadaan baik dan kami sentiasa memantau perkara tersebut.”

Dua aksi persahabatan ini akan menjadi medan persiapan buat pasukan Harimau Malaya bagi mempersiapkan skuad yang akan menggalas tanggungjawab di kejohanan Piala AFF 2022.

Malaysia akan membuka tirai menerusi perlawanan menentang Myanmar yang dijadual berlangsung pada 21 Disember ini.