Terus dirundung masalah, kali ini didakwa ‘sakau’ duit pemain pinjaman, pihak berwajib harus siasat Melaka United

5,747

Baru-baru ini, beberapa pemain Melaka United FC meluahkan nasib mereka di sosial media mengenai tunggakan gaji yang telah mencecah lima bulan.

Malah, terdapat pemain yang sehingga meminta pertolongan daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyelesaikan perkara itu.


Belum lagi reda mengenai isu tersebut, nama Melaka United sekali lagi panas apabila pemain pinjaman pasukan itu yang beraksi untuk Penang FC pada musim 2022, Faizal Talib mendakwa gaji yang dibayar oleh pasukan Penang kepada Melaka United tidak diberikan kepada beliau.

Menurutnya, beliau telah di’block’ apabila ditanya mengenai gaji pinjamannya bersama Penang yang telah dijanjikan.

Pihak berwajib seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Malaysian Football League (MFL) harus menyiasat dakwaan ini jika ia benar kerana ia merupakan penganiayaan kepada pemain.

Pihak Penang juga mungkin boleh mengambil tindakan sekiranya perkara tersebut benar kerana nama mereka turut terpalit, dan boleh menjatuhkan reputasi kelab.

Sebelum ini, pengerusi Melaka United, Datuk Wira Justin Lim mendakwa masalah yang berlaku dalam pasukan ketika ini adalah timbul dari pihak Melaka United Soccer Association (MUSA) yang memegang 30 peratus saham kelab itu.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya sudah menghubungi MUSA untuk memastikan mereka bertanggungjawab namun tidak diendahkan.

Sebelum ini pula, MUSA menyifatkan mereka tiada kaitan dengan masalah yang berlaku dalam Melaka United dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Justin.

Kedua-dua pihak ketika nampaknya lebih senang menuding jari berbanding cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi para pemain.

Tanpa penglibatan pihak ketiga, tidak mustahil perkara ini akan terus berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian.

Sebelum ini, TMJ sendiri pernah menegur Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas gaji pemain Melaka United tertunggak selama tiga bulan.

Jika pihak berwajib sendiri tidak mempunyai inisiatif untuk mengambil tindakan, adakah perlu mengharapkan bantuan TMJ sekali lagi untuk bersuara baru masalah tersebut mahu diselesaikan?

Melaka United tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Kelab itu didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022, dan tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan.