Seperti mati hidup semula, PJ City peroleh peluang kedua selepas temui pemilik baru

3,135

Pasukan Liga Super, PJ City yang sebelum ini telah mengumumkan pengunduran dari kancah bola sepak Malaysia dikhabarkan telah mendapat talian hayat.

Hal ini ekoran daripada perkhabaran baru yang telah diterima oleh Harimau Malaya dari sumber yang boleh dipercayai mengatakan bahawa pihak pengurusan Shah Alam City bakal mengambil alih pasukan tersebut.


Untuk makluman, Shah Alam City merupakan sebuah entiti yang baru sahaja ditubuhkan.

Individu yang bertanggungjawab di atas perkara ini adalah seorang ahli perniagaan berpengaruh, Datuk Seri Amril Aiman yang juga merupakan pemilik Shah Alam City pada ketika ini.

Beliau akan menerajui kepimpinan baru PJ City selepas ini sekiranya semua perancangan berjalan dengan lancar.

Datuk Seri Amril mempunyai pengalaman yang cukup luas arena dalam bola sepak Malaysia melihat kepada profil beliau sebelum yang pernah menjawat kedudukan penting dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) beberapa tahun yang lalu.

Ini sekaligus menyangkal perkongsian daripada beberapa sumber yang mengatakan bahawa pasukan Liga M3, PIB FC yang bakal mengambil alih.

Perkara sebenar adalah hanya salah seorang daripada bekas pengurusan tertinggi PIB FC yang akan menyertai pengambil alihan ini.

Beliau merupakan antara individu penting yang telah bertungkus lumus dalam membantu PIB FC meraih gelaran juara pada saingan Liga M3 yang lalu.

Kesungguhan ini akan memberi kelebihan kepada pihak pengurusan baru PJ City dalam menstruktur semula pasukan ini selepas segala proses yang perlu dilakukan selesai.  

Menurut sumber yang boleh dipercayai, mereka juga bakal melantik Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan selaku ketua jurulatih yang baru bagi saingan 2023.

Sathianathan merupakan salah seorang jurulatih berpengalaman dalam negara yang telah berjaya meraih pelbagai kejayaan sepanjang karier kejurulatihannya termasuk sewaktu bergelar jurulatih skuad Harimau Malaya.

Terakhir, beliau merupakan ketua jurulatih pasukan Sarawak United sebelum terpaksa melepaskan jawatan tersebut kepada S Balachandran ekoran daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Pada masa yang sama, pemain yang bakal digunakan pada musim depan juga telah selesai disenaraikan dan hanya menunggu pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, mereka pada ketika ini berkemungkinan besar akan mengekalkan nama PJ City sepanjang musim pertama penyertaan sebelum keputusan lanjut dilakukan.

PJ City menamatkan saingan Liga Super musim 2022 di tangga kesembilan, dengan pengambil alihan baru ini mungkin akan membawa sinar baru buat pasukan ini terus menyinar.