Masih kuat walaupun berusia 55 tahun, King Kazu bakal ke liga Portugal, satu inspirasi buat dunia bola sepak

783

Selepas 37 tahun aktif dalam bola sepak profesional, pemain Yokohama FC, Kazuyoshi Miura tidak menunjukkan tanda-tanda beliau mahu berhenti apabila bakal berpindah ke Eropah pula.

Penyerang berusia 55 tahun itu dilaporkan bakal berhijrah ke liga kedua Portugal bersama kelab Oliveirense.


Beliau yang merupakan pemain profesional tertua di dunia itu dilaporkan melengkapkan perpindahan ke-15 dalam kariernya, di mana ini kali pertama beliau bakal bermain di Portugal.

Beliau yang digelar ‘King Kazu’ bermain dengan kelab divisyen keempat Jepun musim lalu secara pinjaman iaitu Suzuka Point Getters dan menjaringkan dua gol.

Kelangsungan yang ditunjukkan King Kazu sememangnya satu inspirasi buat pemain bola sepak di seluruh dunia.

Lebih-lebih lagi perpindahan ke Portugal pastinya satu ‘upgrade’ di dalam kariernya, di mana majoriti pemain kebiasaannya sudah bersara atau ke kelab yang lebih kecil selepas menginjak usia 30an.

Oliveirense merupakan kelab yang dinaikkan pangkat ke divisyen dua musim ini kini berada di tangga ke-14 liga dengan hanya dua kemenangan dari 13 perlawanan.

Ketika ini penjaring terbanyak pasukan itu merupakan pemain Brazil, Michel Lima yang telah menjaringkan lima gol daripada 17 perlawanan.

Untuk pengetahuan, syarikat yang memiliki Yokohama FC iaitu Onodera Group turut memiliki majoriti saham di Oliveirense.

Di Malaysia pula, pemain-pemain seperti Amri Yahyah turut menunjukkan contoh serupa dengan kedua-duanya masih aktif secara profesional walaupun sudah berusia 41 tahun.

Lebih-lebih lagi Amri yang menjaringkan lima gol untuk Sabah FC musim ini, salah seorang penjaring terbanyak kelab itu.

Apa yang lebih manis adalah sumbangan beliau juga berjaya membawa kelabnya itu layak ke saingan Piala AFC musim depan.

Seperti King Kazu, Amri dan Indra juga tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan menggantung but kerana kudrat mereka boleh dikatakan masih boleh menandingi pemain-pemain yang lebih muda.

Tidak mustahil kedua-dua pemain itu mampu mengikut jejak King Kazu bermain bola sepak secara profesional sehingga usia 50 sekiranya mampu mengekalkan konsistensi mereka.