Chan Peng Soon akui peminat badminton sekarang lebih ‘gila’, tekanan semakin tinggi dengan sosial media
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon mengakui beliau pernah menerima kritikan yang keterlaluan daripada para peminat di sosial media ketika tewas.
Menurutnya, peminat badminton sekarang terutama di negara ini lebih fanatik dan semakin ramai, di mana ada yang memberi kritikan membina dan ada juga yang hanya melemparkan kata-kata yang kasar.
Berbanding dulu, peminat badminton di Malaysia sekarang memang ‘gila’, dan semakin ramai.
Sudah tentu jika ada yang menegur di media sosial secara baik saya akan balas tetapi saya tidak boleh terima jika ada yang melampau, saya buat-buat tak nampak saja,”
katanya.
Menurutnya, situasi ini sama sahaja di luar negara di mana terdapat juga peminat yang keterlaluan juga.
Beliau mengakui dengan sosial media masa kini, tekanan lebih dirasai kerana peminat boleh berhubung secara terus dengan pemain.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak mudah untuk bergerak secara profesional kerana perlu menguruskan banyak perkara termasuk disiplin.
“Saya rasa kalau pemain itu sendiri sudah mencapai satu tahap yang baik, lebih mudah untuk cari penaja.
Jika sudah cukup matang boleh saja menjadi pemain profesional tetapi jika tidak memang agak susah untuk kawal diri terutama dari segi disiplin.”
Peng Soon akan bergandingan bersama Goh Liu Ying buat kali terakhir pada kejohanan Malaysia Open Januari depan sebelum Liu Ying mengambil keputusan untuk bersara.
Menurut Peng Soon, selepas itu beliau akan menumpukan perhatian untuk layak ke Olimpik 2024 bersama pasangannya ketika ini, Cheah Yee See.