Peluang buat Malaysia pintas Hong Kong, tempat di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 jadi taruhan

1,446

Skuad kebangsaan bakal sibuk pada hujung tahun ini bermula dengan aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, diikuti kejohanan Piala AFF.

Sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada Februari lalu, Kim Pan-gon telah berjaya menaikkan ranking pasukan kebangsaan dari 154 kepada 146 kini.


Dan Malaysia dilihat mempunyai peluang untuk memperbaiki lagi ranking sekiranya mencatatkan keputusan yang baik dalam perlawanan persahabatan dan Piala AFF.

Pungutan mata ketika perlawanan persahabatan dan Piala AFF ini dilihat amat penting kerana mampu mempengaruhi kedudukan negara pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Ketika ini, Malaysia yang mengumpul 1062.32 mata dibezakan dengan 0.07 mata di belakang Hong Kong yang berada di tangga ke-145 dengan 1062.39 mata.

Untuk kelayakan zon Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pasukan di ranking pertama hingga ke-25 di benua berkenaan akan diberikan bye pada pusingan pertama kelayakan untuk terus bersaing di pusingan kedua.

Sekiranya menewaskan Kemboja, Malaysia bakal memperoleh 1.96 mata sekaligus boleh memintas Hong Kong untuk menduduki tangga ke-25 di Asia.

Dengan mencatat keputusan yang baik dalam perlawanan persahabatan dan Piala AFF akan datang, Malaysia mampu menjarakkan diri dengan lebih jauh daripada Hong Kong.

Bagaimanapun ia sudah tentu turut dipengaruhi oleh prestasi Hong Kong sendiri.

Kelayakan Piala Dunia 2026 untuk zon Asia bakal bermula pada Oktober tahun depan, dengan 8.5 slot diberikan kepada pasukan Asia.

Walaupun mungkin terlalu awal untuk bergembira sekiranya Malaysia berjaya memotong Hong Kong selepas perlawanan persahabatan dan Piala AFF tamat, kerana mereka juga berpeluang memotong Malaysia kembali, tetapi ia dapat memberi tonik tambahan buat pasukan negara untuk mempertahankan kedudukan itu.

Ia juga mampu menjadi motivasi buat pasukan negara terus memintas negara-negara yang lebih tinggi iaitu Turkmenistan, Filipina dan Korea Utara.

Namun jika Malaysia gagal mendapatkan keputusan yang baik, harapan negara untuk melangkah secara automatik ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 akan menjadi lebih sukar.

Layak ke pusingan kedua juga adalah penting kerana pasukan yang berada di ranking ke-26 sehingga ke-47 di Asia juga turut mempunyai pasukan yang kuat seperti Indonesia, Kuwait dan Yaman.

Pada kelayakan Piala Dunia 2022 yang lalu, Malaysia turut memulakan saingan di pusingan pertama bertemu Timor Leste.