KPG luah rasa bangga, pemain berjaya serap taktikal dalam masa singkat

309

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon nyata gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada malam ini.

Beliau menyatakan perasaan bangganya melihat kesemua pemain yang diturunkan berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan meskipun sekadar menjalani latihan dalam tempoh masa yang sangat singkat.


“Saya bangga kerana banyak maklumat baru yang diterima oleh mereka dalam masa yang singkat tapi hari demi hari mereka menunjukkan peningkatan yang baik,”

katanya kepada media.

Terutama sekali pertahanan tengah, Sharul Nazeem yang berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan di bahagian pertahanan sepanjang 90 minit perlawanan.

Sharul berjaya menunjukkan keserasian yang cukup baik bersama pertahanan lain seperti Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran meskipun baru sahaja menyertai sesi latihan pada Isnin lalu.

“Saya minta Sharul untuk melakukan sumbangan turun bermain walaupun baru saja menyertai kem latihan.

Saya tahu itu adalah satu tugasan berat, saya sangat sangat hargai semangat yang ditunjukkan oleh beliau.”

Meskipun permainan Harimau Malaya tampak seperti sedikit menurun pada babak kedua, Pan-gon tetap berpuas hati kerana beliau sememangnya ingin memberi tekanan kepada para pemain. 

“Saya sengaja meletakkan tekanan pada separuh masa kedua untuk menguji para pemain bagi menyiapkan mereka menghadapi saingan Piala AFF.

Mereka berjaya buktikan, saya berbangga dan gembira.”

Pan-gon perlu mempersiapkan anak buahnya pada aksi persahabatan seterusnya menentang Maldives yang akan berlangsung pada 14 Disember.

Pemain-pemain ini akan terus diuji bagi mengenal pasti senarai akhir pemain yang bakal dibawa ke saingan Piala AFF tahun ini.