Terkena sumpahan kucing! Croatia telah memperlihatkan ‘seni’ bertahan yang cukup memukau untuk tumbangkan Brazil

844

Nampaknya pasukan Brazil telah terkena sumpahan kucing apabila mereka tumbang di tangan Croatia pada perlawanan suku akhir Piala Dunia 2022 Qatar sebentar tadi dalam satu aksi yang cukup dramatik dan menakjubkan.

Pada sidang media sehari sebelum perlawanan, pegawai media pasukan Brazil telah menghumban kucing secara kasar selepas kucing itu secara tiba-tiba naik ke meja sidang media, dan insiden itu mendapat liputan meluas daripada media di seluruh dunia.


Malah, ramai yang menganggap tindakan pegawai tersebut bakal mengundang ‘sumpahan kucing’ yang akan menyebabkan Brazil kalah dan ia ternyata menjadi kenyataan.

Dalam perlawanan tersebut, Croatia berjaya tumbangkan Brazil dalam penentuan sepakan penalti 4-2 sekaligus menempat tiket ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Tidak dapat dinafikan Brazil adalah pasukan yang menjadi pilihan bukan sahaja untuk menang suku akhir tetapi juga menjadi pilihan untuk julang trofi Piala Dunia edisi kali ini berikutan mereka mempunyai skuad paling ampuh.

Kedua-dua pasukan bermula dengan seimbang apabila masing-masing sering melancarkan serangan demi serangan namun gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua Brazil terus menggandakan serangan tetapi barisan pertahanan Croatia sangat berdisiplin, manakala penjaga gol mereka Dominik Livakovic mempamerkan aksi yang cukup mantap untuk menggagalkan setiap percubaan.

Kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol pada 90 minit perlawanan sehingga terpaksa diheret ke masa tambahan di mana Brazil akhirnya terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-105+1′ menerusi penyerang sensasi, Neymar.

Tersentap dengan jaringan itu, Croatia terus melancarkan serangan bertali arus pada separuh masa kedua masa tambahan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-116′ menerusi rembatan padu Bruno Petkovic.

Perlawanan berakhir dengan keputusan terikat 1-1 sekaligus mengheret ke penentuan sepakan penalti yang mana Livakovic sekali lagi menjadi wira buat skuad The Checkered Ones apabila menyelamatkan sepakan penalti Rodrygo dan penalti Marquinhos terkena palang telah mengesahkan kemenangan buat pasukannya.

Keempat-empat sepakan penalti Croatia berjaya disempurnakan oleh Mislav Orsic, Luka Modric, Lovro Majer dan Nikola Vlasic.

Melihat kepada statistik perlawanan tidak dapat dinafikan pasukan Brazil sedikit mendominasi perlawanan terutamanya di bahagian serangan apabila berjaya melakukan 19 percubaan dengan 11 percubaan tepat, manakala pasukan lawan pula hanya berjaya melakukan sembilan percubaan dengan satu sahaja percubaan tepat ke sasaran tapi berjaya heret Brazil ke penentuan sepakan penalti.

Namun sedikit menarik apabila melihat kepada jumlah hantaran yang dilakukan apabila pasukan Croatia melakukan lebih hantaran iaitu sebanyak 711 hantaran dengan hantaran berjaya berjumlah 635, manakala Brazil pula melakukan 700 hantaran dengan 630 hantaran berjaya.

Seperti yang dapat dilihat pada perlawanan tadi, pasukan kendalian Tite telah membuat sebanyak 156 serangan dengan 69 serangan berbahaya tetapi hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja.

Tidak semuanya pahit buat Brazil kerana jaringan saguhati Neymar tadi menyaksikan beliau berjaya menyamai rekod jumlah jaringan legenda Brazil iaitu Pele dengan 77 gol.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang memandang rendah dengan kemampuan pasukan Croatia, namun ramai yang lupa bahawa mereka adalah naib juara Piala Dunia 2018 di Rusia jadi mereka turun dengan reputasi yang cukup besar berbanding Brazil.

Biarpun ada juga yang mengatatakan pasukan Croatia sebagai ‘kuda tua’ terutamanya di bahagian tengah yang dikawal oleh ‘Golden Triangle’ iaitu Modric, Marcelo Brozovic dan Mateo Kovacic, namun mereka telah menyangkal pandangan orang ramai terhadap mereka.

Corak permainan yang ditampilkan mereka hampir serupa seperti perlawanan menentang Jepun pada Pusingan 16 iaitu mereka merapkan corak permainan tersusun, menyerap tekanan, lakukan serangan balas pantas dan paling penting tenang pada penentuan penalti.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa penjaga gol Livakovic berusia 27 tahun yang beraksi bersama kelab Dinamo Zagreb memperlihatkan ketenangan beliau apabila berdepan situasi penalti dan tidak mustahil selepas ini beliau akan menjadi buruan kelab-kelab gergasi di Eropah selepas Piala Dunia.

Tak perlu berlatih sepakan penalti sebanyak 1,000 kali seorang seperti pasukan Spain kendalian Luis Enrique (sudah letak jawatan selepas Spain tersingkir) jika mempunyai pemain-pemain yang bukan sahaja bagus tetap tenang pada situasi getir.