Perpisahan sedih buat CR7, Morocco cipta sejarah untuk Afrika, Arab dan Muslim!

362

Pasukan Morocco sekali lagi melakukan kejutan besar dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar apabila mereka bukan sahaja berjaya tumbangkan Portugal 1-0 di suku akhir, tetapi juga layak ke peringkat separuh akhir buat pertama kali dalam sejarah sejak mula menyertai kejohanan berprestij itu pada 1970.

Bukan itu sahaja, mereka juga menjadi pasukan dari Afrika yang pertama berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia.


Sebelum ini hanya tiga pasukan dari Afrika sahaja yang pernah layak ke suku akhir iaitu Cameroon pada Piala Dunia 1990 di Italy, Senegal pada Piala Dunia 2002 di Korea/Japan dan Ghana pada Piala Dunia 2010 di South Africa.

Ini merupakan kali kedua skuad yang diberi jolokan The Atlas Lions menumbangkan Portugal dengan kali pertama mereka berjaya melakukannya pada perlawanan peringkat kumpulan di Piala Dunia 1986 dengan jaringan 3-1, sekaligus menjadi pasukan Afrika pertama untuk layak ke Pusingan 16.

Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa kelibat Walid Regragui yang berjaya membentuk sebuah skuad yang ampuh dalam tempoh yang cukup singkat untuk menghadapi kempen Piala Dunia edisi kali ini.

Pernah diejek sebagai ‘Avocado head’ oleh segelintir, tetapi ramai yang menggelarnya sebagai ‘Africa’s Guardiola’ kerana kehebatannya dalam merencana taktikal yang ampuh.

Malah beliau juga mendapat pujian daripada peminat bola sepak di negaranya sendiri apabila berjaya membawa masuk semula pemain Chelsea dan Bayern Munich iaitu Hakim Ziyech dan Noussair Mazraoui yang sebelum ini bersara dari pasukan kebangsaan.

Kedua-dua pemain itu kini menjadi kunci utama kejayaan pasukan itu dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Untuk pengetahuan, skuad Morocco kali ini dibarisi oleh 14 pemain yang lahir di luar negara termasuk Regragui sendiri yang lahir di France, dan beliau dilantik sebagai ketua jurulatih tiga bulan sebelum Piala Dunia membuka tirainya.

Baru-baru ini dalam satu sidang media, pengendali berusia 47 tahun itu berharap selepas ini lebih ramai jurulatih dari Afrika mendapat peluang untuk mengendalikan kelab di Eropah dengan kejayaan yang dikecapi oleh mereka.

Dalam pada itu, pada perlawanan yang cukup menakjubkan sebentar tadi menyaksikan pemain Morocco beraksi mati-matian dan kekal dengan sistem mereka iaitu bertahan dengan cukup baik dan melakukan serangan balas pantas dan efektif.

Walaupun peminat teruja dengan kejayaan Morocco layak ke separuh akhir, namun terdapat kebimbangan apabila tiga tonggak utama iaitu ketua pasukan Romain Saiss, Sofiane Boufal dan Ziyech mengalami kecederaan.

Pada masa sama penyerang gantian, Walid Cheddira sudah sah tidak dapat diturunkan pada perlawanan separuh akhir nanti berikutan dilayangkan kad merah pada masa tambahan.

Seperti yang dijangka, Portugal memulakan aksi separuh masa pertama dengan begitu menyakinkan apabila mendominasi perlawanan terutamanya di bahagian tengah, namun gagal melakukan serangan berbahaya apabila hanya berjaya melakukan lima percubaan dengan satu sahaja percubaan tepat.

Berbeza dengan Morocco pula yang hanya mempunyai 34% penguasaan bola tetapi berjaya tujuh percubaan dengan dua percubaan tepat dengan salah satunya berjaya menerjah jaring pada minit ke-42′ menerusi Youssef En-Nesyri.

Disebalik penguasaan Portugal, Morocco lebih efektif apabila setiap serangan yang dilakukan oleh mereka cukup berbahaya dan ternyata anak buah Regragui terus membuktikan bahawa mereka mempunyai barisan pertahanan cukup kental dalam kempen Piala Dunia kali ini.

Untuk rekod mereka hanya bolos satu gol sahaja selepas lima perlawanan dengan gol bolos tersebut merupakan gol sendiri.

Kemenangan ini bukan sahaja meneruskan perjuangan pasukan dari Afrika dalam kempen Piala Dunia kali ini, tetapi juga memecah dominasi pasukan dari Eropah di separuh akhir.

Penjaring gol tunggal dan kemenangan En-Nesyri menjadi pemain Afrika keempat yang berjaya menjaringkan gol di suku akhir Piala Dunia.

Jaringan daripada penyerang Sevilla itu menyaksikan beliau kini menyertai Emmanuel Kunde dan Eugene Ekeke dari Cameroon dan juga Sulley Muntari dari Ghana sebagai pemain Afrika yang berjaya jaringkan gol pada peringkat lapan pasukan terakhir.

Sementara itu, untuk Portugal pula Fernando Santos yang memasukkan kaptennya Cristiano Ronaldo pada separuh masa kedua telah menyaksikan pemain itu membuat penampilan ke-196 untuk pasukan kebangsaan sekaligus menyamai rekod dunia pemain Kuwait, Bader Al-Mutawa sebagai pemain paling banyak kap antarabangsa.

Bagaimanapun rekod tersebut seperti tidak bermakna buat Ronaldo apabila beliau dilihat kuat menangis ketika berjalan ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan dan ia merupakan satu pengakhir jalanan Piala Dunia yang cukup menyedihkan buat pemenang enam kali Ballon d’Or ini.

Kegagalan mara ke peringkat separuh akhir kali ini menjadi kegagalan keempat berturut-turut dalam penampilan Portugal di Piala Dunia.

Dengan Ronaldo dan Pepe kini berada di pengakhiran karier mereka, era baru kini pasti menanti juara EURO 2016.