‘It’s not coming home’! Tuah menyebelahi juara bertahan France selepas Harry Kane gagal sempurnakan penalti

391

Perjuangan England dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar telah melabuhkan tirainya apabila mereka kandas di peringkat suku akhir selepas tewas 2-1 di tangan juara bertahan France sebentar tadi.

Kegagalan itu menyebabkan England tidak dapat mengulangi pencapaian mereka pada Piala Dunia 2018 di Russia apabila mereka berjaya layak ke peringkat separuh akhir.


Naib juara EURO 2020 ini mempunyai sejarah buruk terutamanya apabila membabitkan penentuan sepakan penalti seperti yang berlaku pada perlawanan akhir EURO 2020 yang mana mereka tewas kepada Italy.

Namun England selalunya bermasalah apabila ke penentuan penalti dan bukannya ketika sepakan penalti pada waktu perlawanan seperti yang berlaku sebentar tadi.

Ini merupakan kekalahan pertama England kepada France di Piala Dunia kerana sebelum ini mereka pernah menang 2-0 pada tahun 1966 dan 3-1 pada tahun 1982.

England juga belum pernah menang perlawanan di Piala Dunia apabila mereka ketinggalan pada separuh masa pertama yang mana mereka hanya berjaya seri dua kali dan kalah enam kali.

Manakala France pula berjaya menang 24 dari 25 perlawanan Piala Dunia apabila mereka mendahului pada separuh masa pertama.

Pertembungan antara kedua-dua pasukan gergasi Eropah ini sudah diketahui akan menjanjikan satu aksi yang cukup menarik dan tidak mengecewakan dan ia ternyata benar dengan skuad The Three Lions dilihat lebih menguasai bola dan kerap melakukan serangan.

Bagaimanapun skuad yang popular dengan jolokan Les Bleus terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-17′ menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti oleh Aurelien Tchouameni untuk memberi mereka kelebihan pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula dengan England terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti kapten pasukan Harry Kane pada minit ke-54′.

Tersentap dengan gol penyamaan, France kemudian menaikkan intensiti permainan dan akhirnya sekali lagi berjaya mendahului apabila Olivier Giroud menanduk bola masuk ke gawang selepas mendapat hantaran lintang cukup berkualiti daripada Antoine Griezmann pada minit ke 78′.

England sekali lagi mendapat penalti enam minit sebelum tamat perlawanan untuk menyamakan kedudukan tetapi Kane mensia-siakan peluang tersebut apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol sekaligus menjadi punca kekalahan mereka.

Berdasarkan statistik perlawanan, England telah melakukan 15 percubaan dengan tujuh percubaan tepat tetapi gagal menjaringkan gol, sedangan France hanya melakukan lapan percubaan dengan lima percubaan tepat yang menghasilkan dua jaringan.

Antara punca kekalahan mereka adalah ketumpulan di bahagian serangan kerana disebalik jumlah peratusan penguasaan bola yang tinggi, namun jumlah serangan berbahaya yang dilakukan mereka tidak jauh ketara berbanding France.

Kemenangan France pada pagi tadi adalah kemenangan keenam berturut-turut mereka dalam perlawanan peringkat kalah mati di Piala Dunia.

Mereka kini sedang mengintai untuk menjadi negara kedua untuk menang Piala Dunia secara berturut-turut pada edisi kali ini, selepas Brazil pernah melakukannya pada Piala Dunia 1958 dan Piala Dunia 1962.

Disebalik kekecewaan Kane yang menjadi punca kekalahan pasukannya, beliau mungkin boleh berasa sedikit gembira apabila beliau kini sudah menyamai rekod Wayne Rooney sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman England dengan 53 gol.

Beliau mempunyai peluang untuk mengatasi rekod tersebut, tetapi Kane berada dalam situasi tertekan apabila terpaksa berdepan rakan sepasukannya di Tottenham Hotspur, Hugo Lloris yang mengenalinya sangat rapat.

Kane berjaya menjaringkan 53 gol dalam 80 penampilan, manakala Rooney pula menjaringkan jumlah jaringan sama selepas 120 perlawanan.

Penyerang sensasi itu juga merupakan penjaring terbanyak pada Piala Dunia 2018 dengan enam gol yang mana beliau telah berjaya bawa pasukannya ke peringkat separuh akhir sebelum tewas 2-1 kepada Croatia.

Dalam pada itu, France mempunyai rekod yang cukup cemerlang menentang lawan di separuh akhir, Morocco apabila pernah menang tujuh kali, seri tiga kali dan hanya tewas sekali sahaja.

Bagaimanapun pada pertemuan terakhir mereka pada tahun 2007 dalam perlawanan persahabatan, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di mana ketika itu bapa kepada penyerang Marcus Thuram iaitu Lilian Thuran beraksi pada perlawanan tersebut.

Ketika France menjadi pasukan pilihan pada perlawanan separuh akhir nanti, mereka tidak boleh memandang rendah kepada Morocco kerana pasukan kendalian Walid Regragui kini berada pada momentum dan prestasi terbaik.

Malah untuk kempen Piala Dunia kali ini, mereka sudah mendapat gelaran sebagai ‘Giant Killer’ apabila sudah tumbangkan tiga gergasi Eropah iaitu Belgium, Spain dan terbaru Portugal.

Skuad The Atlas Lions juga menjadi satu-satunya pasukan yang masih lagi belum dibolosi oleh pihak lawan kerana gol yang mereka bolos sebelum ini adalah gol sendiri.

Oleh itu, perlawanan separuh akhir membabitkan kedua-dua pasukan ini pastinya menjanjikan satu aksi yang cukup menarik dan dramatik.