Mohd Daud Bakar beri bayangan KDA FC bakal diperkuat dengan pemain dari Morocco

1,560

Tidak dapat dinafikan seluruh peminat bola sepak kini tertumpu kearah kejohanan bola sepak terbesar di dunia iaitu Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.

Menariknya, Piala Dunia edisi kali ini telah menyaksikan banyak kejutan yang berlaku termasuk pasukan Morocco yang telah mencipta sejarah apabila berjaya layak ke perlawanan separuh akhir selepas menumbangkan Portugal pada perlawanan suku akhir semalam.


Kejutan yang dilakukan oleh mereka telah membuatkan dunia bola sepak kini mula memberi perhatian kepada Morocco termasuklah kelab bola sepak di Malaysia.

Semalam pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA) iaitu Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah memberi bayangan beliau akan membawa masuk pemain dari Morocco bagi menghadapi saingan Liga Malaysia untuk musim hadapan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pemain Morocco yang bakal menyarung jersi Sang Kenari, namun mendedahkan pemain tersebut pernah beraksi di Qatar.

“Sejak dua bulan yang lepas, saya sudah cuba menjejaki seorang pemain Morocco yang pernah bermain di Qatar. Ada beberapa proses yang saya patut buat untuk pastikan pemain ini benar-benar fit dan layak bermain di Kedah.

Saya memang rapat dengan rakan-rakan di Morocco yang mengendalikan beberapa akademi bola sepak di sana,”

tulisnya di laman sosial Instagram miliknya.

Dalam pada itu, selepas mengharungi musim Liga Malaysia yang hambar pada musim 2022, KDA yang kini dibawah Mohd Daud Bakar sudah pun memulakan perancangan dan persiapan bagi menghadapi saingan liga untuk musim hadapan.

Perkara pertama yang dilakukan adalah dengan membawa masuk bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain ke Darul Aman untuk menjadi ketua jurulatih baru Hijau Kuning.

Barisan kejurulatihan KDA juga sudah lengkap dengan Victor Andrag kekal sebagai penolong ketua jurulatih; Mohd Yazid Mohd Yassin sebagai jurulatih penjaga gol; Abdul Hadi Abdul Hamid sebagai penolong jurulatih penjaga gol; Antonio Silvio Santos Concalves sebagai jurulatih kecergasan dan Helber Richard Quintana Silva sebagai fisioterapi.

KDA juga telah menyambung kontrak pemain muda termasuk Kamil Akmal dan Mohamad Al-Hafiz serta baru sahaja menandatangani penjaga gol kebangsaan Kalamullah Al-Hafiz.

Mereka juga baru sahaja mengumumkan kemasukan pemain import baru dari Tajikistan iaitu Amirbek Jurabaev bagi mengisi kuota Asia.

Pemain berusia 26 tahun ini bermain untuk kelab United City FC di Liga Filipina pada musim lepas dan beliau juga merupakan pemain kebangsaan Tajikistan sejak 2014.

Amirbek sebelum ini pernah menjadi perhatian ketika beraksi menentang Malaysia pada perlawanan akhir kejohanan King’s Cup Thailand yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas 3-0 dalam penentuan sepakan penalti.

Siapakah pemain baru lain yang akan dibawa masuk KDA musim depan? Sama-sama kita tunggu.