Elkan Baggott jadi pemain Indonesia pertama jaringkan gol di Piala FA England! Pemain Malaysia bila lagi?

707

Biarpun ranking pasukan kebangsaan Indonesia berada di bawah Malaysia, namun mereka mempunyai ramai pemain yang beraksi di liga Eropah termasuk di England.

Terbaru pemain kebangsaan Garuda iaitu Elkan Baggott telah mencipta sejarah baru apabila menjadi pemain Indonesia pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam kejohanan Piala FA England.


Baggott yang beraksi bersama Gillingham berjaya menjaringkan gol ketika menentang kelab dari divisyen lima, Dagenham & Redbridge FC untuk membantu kelabnya menang dan mara ke Pusingan 3.

Tugas berat menanti Baggott dan rakan sepasukan apabila pada Pusingan 3 Piala FA England, mereka akan berdepan dengan kelab gergasi dari Premier League (EPL) Leicester City pada 7 Januari 2023.

Ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat seluruh peminat bola sepak di Indonesia.

Sementara itu, peminat bola sepak di Malaysia masih lagi menanti pemain dari negara untuk mencipta kejayaan di Liga England.

Malaysia juga sebenarnya mempunyai pemain yang beraksi di Liga England iaitu Kobe Jae Chong yang sebelum ini pernah beraksi di liga divisyen tiga bersama Peterborough, namun kontraknya tidak disambung dan beliau kini beraksi bersama kelab AFC Telford United yang beraksi di divisyen enam.

Namun pemain Malaysia sebelum ini iaitu Dion Cools menjadi pemain negara pertama yang pernah beraksi dalam kejohanan terbesar di dunia iaitu UEFA Champions League dan beliau kini beraksi bersama kelab Jablonec di liga utama Czech Republic.

Seorang lagi pemain negara yang beraksi di luar negara ketika ini adalah Luqman Hakim yang bermain untuk kelab K.V. Kortrijk yang bersaing dalam liga utama Belgian First Division A.