Aiman Afif intai peluang cipta nama di bawah bimbingan Nafuzi Zain

477

Penyerang muda Aiman Afif mengintai peluang untuk mencipta nama di bawah bimbingan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA) yang baru, Nafuzi Zain pada musim hadapan.

Aiman berkata demikian kerana umum sedia maklum dengan bekas ketua jurulatih Terengganu FC itu yang lebih cenderung untuk membangunkan bakat-bakat muda dan kehadiran beliau di Darul Aman dilihat mampu mengubah landskap bola sepak Kedah.


“Walaupun saya belum pernah bermain di bawah Nafuzi Zain tapi saya yakin dengan kehadiran beliau mampu memperbaiki prestasi hambar KDA pada musim ini, dan jika ada rezeki mungkin kita mampu rangkul sekurang-kurangnya satu piala musim depan.

Peluang untuk saya sentiasa ada cuma setiap pemain kena tunjukkan 100% komitmen dan ikut segala kehendak jurulatih,”

katanya.

Beliau merupakan antara pemain yang dikekalkan bersama skuad Sang Kenari untuk kempen Liga Malaysia pada musim depan berikutan masih mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga 2023.

Dalam pada itu, untuk musim 2022 pemain berasal dari Jitra itu hanya sempat diturunkan sebanyak lapan kali sahaja dalam empat kejohanan yang disertai KDA.

Beliau diturunkan dalam tiga perlawanan Liga Super dengan menjaringkan satu gol; beraksi dalam dua perlawanan di Piala Malaysia dan satu perlawanan di Piala FA dengan buat dua bantuan gol.

Walaupun bukan tonggak utama, namun Aiman telah diberi peluang untuk beraksi di pentas Asia apabila beliau diturunkan sebanyak dua kali dalam kejohanan Piala AFC.

Sepanjang musim 2022 beliau hanya mendapat sebanyak 447 minit permainan sahaja dan Aiman sudah pasti mahu meningkatkan jumlah minit permainan pada musim hadapan dengan harapan mendapat kepercayaan daripada Nafuzi.

Dalam pada itu, Aiman juga merupakan pemain kebangsaan B-23 di bawah kendalian E. Elavarasan yang mana beliau sudah membuat penampilan sebanyak enam kali.