Walaupun catat ‘clean sheet’ ketika menentang Kemboja, saya kena perbaiki lagi permainan – Kalamullah Al-Hafiz

176

Penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz menegaskan masih perlu memperbaiki lagi dirinya walaupun berjaya memastikan gawang negara tidak bolos pada penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya menetang Kemboja tempoh hari.

Menurutnya, kesemua empat penjaga gol yang berada dalam kem latihan ketika ini mempunyai kelebihan masing-masing dan beliau perlu bekerja keras untuk memastikan dirinya berada dalam senarai akhir.


“Saya rasa gembira kerana dapat berikan kemenangan buat pasukan pada debut saya tetapi saya perlu perbaiki lagi kelemahan yang ada seperti hantaran yang kurang tepat.

Semua penjaga gol ada kelebihan masing-masing, saya perlu tunjukkan apa kelebihan saya dalam sesi latihan dan segala keputusan terpulang kepada jurulatih,”

katanya.

Katanya, kemenangan menentang Kemboja itu memberi semangat buat dirinya untuk terus bersama skuad kebangsaan.

Beliau berkata, semua pemain memberikan kerjasama yang terbaik pada perlawanan tersebut walaupun ramai muka baru.

“Saya rasa tiada masalah sesuaikan diri dengan pemain-pemain lain, semuanya berikan kerjasama yang baik di dalam padang.

Ketika perlawanan hari itu dapat lihat semua pemain berikan yang terbaik, dan selepas ini menentang Maldives kita akan lihat bagaimana taktikal jurulatih.”

Beliau mengakui sedikit gementar apabila melakukan debut ketika menentang Kemboja dan percaya akan lebih tenang jika diturunkan selepas ini.

Skuad kebangsaan akan turun dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang Maldives Rabu ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.